maka sebelum anda memulakan ziarah, berkali-kali anda mengingatkan anak anda supaya tidak nakal dan duduk diam. anda menegaskan dengan nada tinggi dan berisi ancaman. anda sangat-sangat berharap anak anda akan menuruti segala perintah anda. sepanjang perjalanan anda berdoa dan berharap anak anda tidak akan berlari-lari sepertimana biasanya.
anda tiba di rumah saudara anda, untuk sejam yang pertama, anda memantau anak anda dengan saksama. kelihatannya anak anda masih dalam keadaan terkawal. duduk bermain dengan sepupu-sepupunya. anda pun meneruskan bersembang dengan saudara anda yang bercerita mengenai perjalanannya ke luar negeri dengan bersemangat, dan memicu ghairah anda.
phhraangg!! tiba-tiba anda terdengar bunyi seperti bahan kaca jatuh dan pecah. terdetik dalam fikiran anda, anak anda yang melakukannya. anda menyorotkan mata anda kepada anak anda yang sedang dalam keadaan kaku terkejut di hadapan sebuah pasu antik yang sudah berderai di atas lantai. apa yang anda akan lakukan?
ini senario biasa. anda pasti telah mengalaminya, baik diri anda sewaktu kecil, anak anda, anak saudara anda, ataupun anak kawan-kawan anda. secara umum, hampir dalam kebanyakan situasi begini, ibu atau bapa akan bangun dan berjalan ke arah anaknya, memarahi anaknya atau ramai juga yang akan memukul anaknya. situasi ini akan jadi lebih hebat jika berlaku dalam rumah tanpa kehadiran orang luar.
apa sebenarnya yang berlaku di saat kejadian itu?
dalam diri anak, ketika dia terkejut, minda bawah sedarnya akan terbuka. apabila dia melihat mimik muka marah dan gerakan ibubapanya ke arahnya, minda bawah sedarnya akan terbuka lebih besar lagi. pada saat itu, apa sahaja yang berlaku akan terus diprogram di minda bawah sedarnya. minda bawah sedarnya telah tersedia untuk pemasukan informasi-informasi secara langsung tanpa diproses oleh minda sedarnya. maka apabila sang ibu atau bapa mendekatinya, dengarkan apa yang dimasukkan oleh mereka ke dalam minda bawah sedar anak-anak mereka.
sebagai contoh.. maka sang ibu pun mendekati anaknya dengan perasaan marah dan malu kepada saudaranya. dan berkatalah sang ibu dengan nada tinggi, "kan ibu dah cakap tadi! tak nak dengar cakap ibu! apsal nakal sangat!" atau lirik yang lebih hebat, "tak guna punya budak! degil betul! jahat macam setan! siap balik nanti ibu rotan sampai tak boleh jalan!", sambil memukul tangan atau kaki atau kepala atau melempang anak tersebut.
apa yg berlaku ketika itu ialah perkataan-perkataan 'tak dengar cakap ibu', 'nakal', 'tak guna', 'degil', 'jahat macam setan', 'rotan sampai tak boleh jalan', akan semua masuk langsung terprogram di minda bawah sedar anak. dan tindakan memukul itu akan menjadi anchoring terhadap apa yang diprogram oleh perkataan-perkataan tersebut.
minda bawah sedar tidak memproses perkataan 'tidak' atau 'jangan' tetapi hanya memproses perkataan yang mempunyai impak emosi. perhatikan semula ayat-ayat tersebut dan rasakan dalam perkataan manakah terletak kata emosi.
dan jika perkara ini sentiasa berlaku berulang-ulang, program minda bawah sedar anak tersebut menjadi kuat. seterusnya bergantung kepada anak tersebut untuk menterjemahkannya menjadi sebuah ketakutan atau kemarahan atau apa saja yang negatif. kerna perkataan negatif pasti memicu emosi negatif. maka tidak hairan, ada anak yang bertindak dengan menangis, menjauhi ibubapanya atau melarikan diri setiap kali situasi itu berlaku lagi. itu semua hasil dari proses minda bawah sedar. tanpa perlu berfikir lagi, minda bawah sedar sudah memberikan arahan pada tubuhnya untuk memberikan reaksi mengikut terjemahan mindanya sendiri.
dan setiap kali bahagian tubuhnya dipukul, di bahagian yang telah menjadi anchoring, perasaan itu akan wujud semula dalam dirinya. contohnya jika ibunya sering menampar mukanya sambil berkata 'degil', 'tak guna' dan 'jahat'.. maka setiap kali mukanya ditampar, minda bawah sedar akan merespon perkataan 'degil', 'tak guna' dan 'jahat'.. ini yang memicu rasa rendah diri, menyalahkan diri sendiri malah dendam dalam diri anak. ini yang anda selalu sebut dengan perkataan trauma..
baiklah. bagaimana pula kondisi dalam diri ibu atau bapa ketika itu? 'terkejut' merupakan satu situasi yang membawa diri anda pada keadaan trance, dimana minda bawah sedar anda akan menjadi terbuka dan aktif. kerna itu ketika anda terkejut, anda akan melakukan sesuatu secara spontan. terkejut dan ditambah pula oleh emosi membuatkan minda bawah sedar anda terbuka dengan lebih besar.
bayangkan situasi ini.. dari awal anda telah mengandaikan anak anda nakal, maka perkataan 'nakal' telah anda kaitkan dengan wajah anak anda dan barang pecah. maka kerisauan sepanjang perjalanan, (ingat! emosi membuka minda bawah sedar) telah secara tidak sedar anda memprogramkan perkara tersebut. apabila anda terkejut, minda bawah sedar anda akan aktif dan mengaitkan barang pecah dengan anak anda. anda bangun dan melihat anda, minda bawah sedar mengaitkan pula anak anda dengan perkataan 'nakal'. ini semua berlaku tanpa perlu minda anda memprosesnya lagi kerna sudah terprogram. apa yang berlaku seterusnya?
secara umum, jika ini bukan kali pertama berlaku, anda akan merasakan emosi yang sama dan melakukan perkara yang sama persis ketika setiap kali situasi ini terjadi. jika kebiasaannya anda marah, anda akan merasa marah. jika anda biasanya memukul anak anda, anda akan terus memukul anak anda. semuanya berlaku dengan spontan. adakah anda tidak sengaja? adakah memang itu yang mahu anda lakukan?
ini boleh difahami setelah anda dapat menenangkan diri. apa perasaan anda selepas itu? sedih? merasa bersalah memukul anak? atau masih marah? berdendam dengan anak? ada banyak kes dimana sang ibu/bapa memukul anaknya tanpa belas kasihan ketika marah dan setelah itu menangis ketika menyapukan ubat kepada kesan birat dan luka anak kerna tindakannya.
bagaimana anda boleh mengubah semua ini?
jika anak anda dalam posisi tersebut, terkejut kerna berbuat sesuatu, anda masih perlu marah. kerna mimik wajah dan gerakan tubuh anda akan menambahkan emosi pada anak dan seterusnya membuka minda bawah sedarnya lebih besar. dan yang perlu anda perhatikan ialah kata-kata yang anda masukkan ke dalam minda bawah sedar anak anda.
contoh skrip positif: "kan ibu dah cakap kalau mamat dengar cakap ibu, mamat akan jadi budak bijak dan pandai! kalau mamat dengar cakap ibu, mamat akan jadi anak soleh! Tuhan akan sayang mamat! bila Tuhan sayang, mamat akan jadi orang yang berjaya!"
anda sering dengar doa ibubapa terhadap anak itu makbul. kuncinya ialah emosi. setiap kata-kata dan apalagi doa ibubapa itu terjadi dengan emosi. doa anak kepada ibubapa juga dengan emosi. emosi ini membuka minda bawah sedar. impaknya bukan sekadar program minda bawah sedar, tapi itu nanti aku ceritakan di tajuk yang lain.
namun persoalannya, bagaimana pula anda sebagai ibubapa mampu mengatakan perkara positif itu dalam keadaan marah dan terkejut? bukankah ketika anda emosi, anda akan didorong oleh minda bawah sedar juga? benar. dan kerna itu anda juga harus memprogram minda bawah sedar anda dengan benar dan wajar.
apa yang boleh membuatkan anda marah? apa yang anda rasakan setiap kali anda marah? kenali marah anda. ini juga aku akan ceritakan di tajuk yang lain. insya-Allah.. yang mahu aku sampaikan di sini ialah bagaimana anda yang mencorakkan peribadi anak-anak anda.
bila hari ini anda lihat anak anda, kenali dan fahami apa perasaan anda terhadap anak anda. jika anak anda melakukan sesuatu yang tidak anda sukai, kenali dan fahami perasaan anda mengenai perkara tersebut. perhatikan dan telitikan perkataan yang anda gunakan dan tindakan yang anda lakukan. jika anak anda tidak mahu membantu anda, perhatikan dan kenali apa perasaan anda dan apakah kata-kata yang anda gunakan.
anda mesti mula memperhatikan perasaan dan reaksi anda hari ini. setiap perkara kecil yang anda rasakan tidak penting, pada hakikatnya menjadikan anda seperti diri anda hari ini. dan untuk menjadi lebih baik dari semalam, jangan abaikan perasaan anda. kenali dan fahami. dan apabila mungkin, tanyakan perasaan anak anda dan berbahagi perasaan dengan anak anda. lihat reaksi pasangan anda, kenali dan fahami reaksinya.
mulakan dengan serta-merta jika anda mahu hidup anda menjadi lebih baik. hidup anda bukan takdir yang tidak boleh anda kawal. hidup anda bukan nasib yang anda harus pasrah. hidup anda adalah apa yang anda ciptakan dalam minda anda, sama ada anda sedar ataupun tidak.