nota pendek buat bakal pengundi pru13






aku tau. aku tau korang takkan setuju. aku tau korang takkan setuju dengan pendapat aku ni.. tapi aku nak sebut jugak sebab ramai yang tanya, jadi aku terrpaksa jawablah.. 

aku tahu jauh-jauh hari sebelum nafiri pilihanraya dibunyikan, semua orang dah siap-siap kempen dan bagitau bahawa pilihanraya kali ni bukan pasal nak pilih calon mana yang bagus nak memimpin tapi pasal nak pilih parti mana yang patut diberi kepercayaan memimpin.

pada aku, orang pilih parti sama nih macam orang mlm, dia tak peduli barang dia betul-betul kualiti elok ke tidak, dia tak peduli barang orang lain lebih murah atau tidak, dia tetap kata barang dia yang paling bagus dan harga paling cantik.. dia 'closing' pakai jenama.. tolak semua barang mlm lain, kalau orang tunjuk bukti barang mlm lain pun dia akan cari-cari fakta dan auta untuk menangkan barang dia.. 

biasanya orang mlm bukan promosi sebab nak yang terbaik untuk pelanggan tetapi sebab ada untung kat dia.. kalau promosi barang orang lain dia tak dapat apa-apa.. yang tak jadi ahli pun tolong promosi sama sebab berharap dapat 'tumpang tui' keuntungan kawan yang barangan dipromosikannya.. 

dan aku tetap kata kalau nak pilih tuh elok korang tengok-tengok dan kaji-kaji calon yang bertanding tu, tak kira parti mana atau dari puak mana.. elok kenal betul sebelum pilih, kalau dulu tak kenal masa kempen nih kena kenal..

jangan terima bulat-bulat apa kata orang.. ambil kesempatan untuk jumpa calon-calon yang bertanding dan nilai sendiri peribadi, akhlak, buah fikiran dan wawasan calon tu.. pilih wakil rakyat yang terbaik buat kita.. jangan pilih wakil parti..

sebab bagi aku kalau kita dapat pilih pemimpin yang baik, dan insya-Allah soleh, maka tak kira dalam parti mana pun dia, dia akan tetap baik dan menunjukkan sikap yang baik sama ada sebagai pemerintah ataupun pembangkang..

jadi bila kita ada gabungan pemerintah dan pembangkang dari golongan orang baik-baik, maka insya-Allah semuanya akan baik.. pendapat aku laa..  ;)

moga Tuhan beri petunjuk kepada kita semua.. amin..

selamat memilih..

Read On 3 ulasan

khalifah demokrasi?





moga kita sentiasa dalam dakapan rahmat Allah swt..


maka ini merujuk pada polemik hadis berikut:

“Barangsiapa mendatangi kalian - sedang urusan (kehidupan) kalian ada di bawah kepemimpinan satu orang (Imam/Khalifah) - dan dia hendak memecah belah kesatuan kalian dan mencerai-beraikan jemaah kalian, maka bunuhlah dia!” (HR Muslim)

“Jika dibai’at dua orang Khalifah, maka bunuhlah yang terakhir dari keduanya.” [HR. Muslim]

“Barangsiapa membai’at seorang Imam (Khalifah), lalu memberikan genggaman tangannya dan menyerahkan buah hatinya, hendaklah ia mentaatinya semaksimal mungkin. Dan jika datang orang lain hendak mencabut kekuasaannya, penggallah leher orang itu.” [HR. Muslim]

==================================================================

subhanAllah.. ini antara sebab kenapa aku tak sokong sistem demokrasi.. hadis ini merujuk pada sistem khalifah.. kalaupun nak diterjemahkan ke dalam sistem demokrasi, mempunyai ketua pembangkang bukan bermakna kita mempunyai dua pemimpin.. kalau nak kira ketua pembangkang sendiri mengakui perdana menteri itu adalah pemimpin perdana.. aku pun tak tahu camna nak cerita keIslaman dalam sistem demokrasi ni.. sistem demokrasi nih mmg kacau bilau dari awal sebenarnya..

macam ni lah.. dalam konsep khalifah, ada baiah.. semua ketua kabilah berbaiah pada seorang khalifah.. Amirul Mukminin.. pemimpin orang-orang Islam.. ini antara sebab mengapa Saidina Hasan ra menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah.. kerana tidak mahu ada dua khalifah dalam satu masa supaya ummah tidak berpecah.. ketika krisis Saidina Usman ra, ramai sahabat sendiri jadi pembangkang kepada khalifah yg dikatakan memberatkan kerabatnya, tidak bermakna mereka menganggap ketua yang membangkang itu adalah khalifah.. 

realitinya perdana menteri kita bukan khalifah, malah agong kita pun bukan amirul mukminin.. ini hanya kepala negara yang di zaman Daulah hanya sebatas jawatan gabenor.. apalagi kita nih guna sistem demokrasi.. kita pilih bukan yang mengikut kesolehan tapi mengikut mana yang popular dan mana yang kita rasa menguntungkan kita.. malah kalau nak kata yg dimaksudkan ialah perdana menteri.. negara kita nih bukan negara Islam pun, nak kata negara orang Islam pun susah juga sbb yang bukan Islam pun sama banyak.. kita lantik ketua pun bukan sebab dia Islam tapi sebab parti dia menang.. kalau dikatakan nanti dap menang majoriti dalam parlimen, boleh cina jadi perdana menteri.. dlm perlembagaan takder sebut kena Islam  untuk jadi perdana menteri.. maka pendapat aku hadis ini tidak merujuk pada situasi politik yg kita ada.. maka tak perlu bunuh ketua pembangkang,. 

kalaupun kita nak anggap perdana menteri itu imam.. dia sendiri pun tau bahawa lepas satu penggal jadi imam dia dah bukan imam lagi sehingga dia dilantik semula.. maka dia tak bolehlah anggap orang yang nak lawan dia tuh pecah belahkan jemaah sebab dia sendiri yg kosongkan jawatan supaya org lawan dia.. jika kita nak ikut juga hadis ini, bukan hanya ketua pembangkang kita kena bunuh, tapi ketua umno kelantan, kedah dan selangor pun kita kena bunuh sama.. maka marilah kita berbunuhan sesama kita.. mungkin ada kebaikan demi perpaduan umat Islam.. (sigh) 

aku gelihati sbnrnya bila berkisah tentang demokrasi nih.. sbb bagi aku memilih pemimpin cara demokrasi nih mmg sangat mencederakan akal.. mmg makin lama makin gila orang melayu dek mazhab politik nih.. orang politik nih bercakap macam orang melayu nih bodoh sangat.. kalau nak guna sangat hadis ni, bubarkan parlimen.. beri balik kuasa pada raja-raja melayu.. biar raja melayu yg pilih mana2 ketua yg dia suka.. tak payah buat pilihanraya.. kalau takder pilihanraya, takder parti politik.. kalau raja tak betul, org marah raja saja.. tak suka raja yg ini kita pindah cari raja yg lain.. kan senang.. tak payah nak risau melayu hilang kuasa.. tak rosak parah otak org melayu.. 

kita nih tak perasan sebenarnya tanah ini bukan tanah melayu lagi.. ini tanah namanya malaysia.. kita dah lepaskan tanah ini sebab kita nak sabah dan sarawak bergabung.. ini pemimpin, yg kita letakkan urusan kehidupan kita, dulu dah buat..taraf melayu di tanah nih dah diturunkan dari pemilik kepada penumpang istimewa.. ini realitinya.. jadi bila yg kafir nak kuasa juga, dia ada hak.. sebab pemimpin, yang kita letakkan urusan kehidupan kita, dulu dah beri jaminan macam tu.. tanah melayu dah tergadai.. yg ada hanya tanah malaysia.. kalau malaysia tuh sama makna dgn tanah melayu, kenapa tukar nama? sebab bunyinya moden? sebab bunyi malaysia tuh cina dan india dengar sama dengan bunyi MELAYu-CIna-indiA...sbb itu lepas jadi malaysia diorg pulun nak menang pilihanraya 1969.. diorg menang pun.. kita curi kemenangan diorg.. baru pemimpin, yg kita letakkan urusan kehidupan kita, tersedar dan kelam kabut buat macam2 nak selamatkan melayu.. tanah yg kita pijak bukan milik kita sahaja... kita dah gadaikan jadi milik bersama.. kita tertipu dengan perjanjian yang kita sendiri buat.. ini sudut pandang yang kita semua akan sedaya upaya tanak tengok dan percaya..

maka apa cara nak pulangkan apa yg sebenarnya milik kita? 

Islam.. itu kekuatan perpaduan melayu.. bila Islam tertegak sebagai perlembagaan negara.. apapun nama negaranya, tetap menjadi milik orang Islam dan orang bukan Islam hanya mendapat perlindungan.. masalahnya ada pula sektarian politik.. 

kita ambil contoh sektarian dalam jemaah muslimin sebagai ibarat.. 

aku amik contoh nih sebab aku agak setuju dgn sorg kawan aku yang kata parti politik nih sama cam sect dlm Islam.. kat pakistan nih ada macam2 sect, aku sendiri baru pertama kali lalui pengalaman berhadapan dgn macam2 sect nih.. yg aku perasan semuanya mengaku ahlussunnah wal jamaah.. yg jadi sect nih sebab mereka nak bezakan ahlussunnah wal jamaah yg mana yang sebenar2 ahlussunnah wal jamaah.. jadi mereka bagi nama lain..bila dah bagi nama maka jadi pecahlah sbb orang awam kena pilih.. mmg ada sect yg tak betul langsung, tapi kebanyakan sect bezanya sikit2 saja.. kadangkala hanya berbalah tentang bidaah.. ada yg berbalah tentang sanad hadis.. ada yg berbalah tentang terjemahan ayat Quran.. dan semua mengaku ilmu yang mereka ada bersanad langsung hingga ke Rasulullah saw.. 

jadi bila kita cerita bab politik partisan malaysia ni.. lebih kurang sama juga.. bila umno kata dia perjuang org melayu, yg mana nama melayu ini diikat dengan agama Islam, maka secara langsung bermakna dia memperjuangkan Islam.. sebab tuh melayu dulukala ada istilah 'masuk melayu'.. aku rasa semua org faham bab ni.. begitu juga pas.. dia kata dia perjuang Islam.. titik.. dah jelas dan tak perlu diperjelaskan..

yang membezakan keduanya ialah cara memperjuangkan Islam.. 

org umno kata bukan dia tanak buat undang2 syariah, malah dah tubuh pun mahkamah syariah, hanya saja org umno berpendapat belum masa nak ubah perlembagaan buat undang2 syariah kerana komposisi kaum dan terlebih lagi kerana org2 melayu sendiri byk yg Islam pada nama sahaja.. kerna itu perjuangan awal kemerdekaan diletakkan atas nama nasionalisme bukan atas nama Islam.. kerna org melayu zaman itu tahu sangat bahawa kemerdekaan tidak akan didapatkan tanpa sokongan dari kaum-kaum bukan Islam.. ini jelas kenapa umno bergabung dgn mca utk pilihanraya dewan bandaran ke-2 selepas kalah teruk di pilihanraya dewan bandaran pulau pinang.. maka pada pendapat org umno, cara memperjuangkan Islam ialah dengan perlahan-lahan memperkuat kedudukan mahkamah syariah.. ini argumentasi orang umno..

pada orang pas pula berbeza.. mereka berpendapat kerana tanah ini tanah melayu dan kekuasaan ada dalam tangan melayu maka undang2 syariah harus ditegakkan serta-merta.. kerna itu adalah wasiat Rasulullah saw.. jika selamanya kita membiarkan tanah melayu ini tidak ditadbir atas syariah Islam maka kita berdosa.. org pas berpendapat bahawa dengan menegakkan undang2 syariah maka orang melayu akan kembali kepada al-Quran dan sunnah.. aku sangat faham argumentasi orang pas..

sama matlamat, sama tujuan, beza cara.. 

yang aku tak setuju dgn umno ialah mereka ini kelihatan tidak bersungguh2.. dan yang aku tak setuju dgn pas ialah ramai yang agak tergesa-gesa.. kebanyakan orang awam hanya ikut2 saja.. ramai org umno pun tak faham perjuangan sebenar umno, ramai yg hanya sebatas perjuangan bangsa sahaja.. padahal memperjuangkan melayu bukan sekadar perjuangan bangsa.. org pas pun ramai yg tak faham juga.. malah kebanyakannya hanya ikut2 sokong pas sebab marah pada org umno dan beranggapan kesulitan hidup mereka disebabkan salahguna kuasa oleh org umno.. ini termasuklah yang mengatakan A.B.U. dan A.B.C.D... maaf ini hanya pendapat aku.. mungkin aku yg tak pandai nak melihat dari perspektif itu...

aku berpendapat mengapa tidak biarkan saja orang tidak memilih mana2 parti.. sama macam kita tak perlu nak pilih mana2 sect.. kita belajar dengan tok guru satu sect dan kita belajar dari tok guru sect yg lain.. mana yang kita rasa tenang, mudah2an Allah swt beri petunjuk.. jadi kita tak perlu taksub ikut saja.. org yg ada guru mursyid pun akan sentiasa berdoa agar apa yang dipelajarinya itu adalah ilmu yang benar.. kita belajar dengan cara berfikir.. bukankah Islam itu agama yg menggalakkan berfikir?

maka bila kita nak beribadah dengan Allah swt, kita ikut sunnah Nabi saw, bukan ikut sect.. bila terjadi pertembungan maka kita mufaraqah.. kita mengelakkan fitnah pada Islam, pada diri kita, pada kawan2 kita.. kita bersetuju untuk tidak bersetuju.. jadi bila mazhab2 politik ini berkisah dan membongkar itu ini, kita dengarnya dan hadamkan.. jangan percaya terus.. jika memang ada kebenaran maka kita ambillah supaya kita dapat memilih dengan lebih baik.. tak perlu sokong kuat2 kecualilah mmg kita org politik atau mmg berada dalam parti politik.. bila berdiskusi, kita bertanyalah pendapat bukan kita paksakan pendapat.. bukankah dalam dakwah juga tugas kita hanya menyampaikan, hidayah itu milik Allah swt yang mahu diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.. tak perlu nak marah bila orang tidak sependapat dgn kita.. sebab yang kita buat nih semua kerana Allah swt, bukan kerna orang lain dan bukan kerna diri kita..

tapi ini hanya pendapat akulah.. aku mungkin salah..  jangan ambil kalau korg rasa pendapat aku ni sesat.. ;)

moga Allah swt melindungi kita dan memberi petunjuk pada kita. amin.

wallahualam..

Read On 1 ulasan

cara menyelamatkan tanah rezab melayu?






ketika ditakdirkan bermusafir di uzbekistan beberapa tahun dulu, sedang duduk-duduk beristirehat menikmati secawan kopi dalam dingin musim sejuk memandang ke arah kawasan pergunungan di daerah Tchimgan, aku bertanya kepada satu-satunya sahabat baikku ketika itu tentang bagaimana mahu membeli tanah di kawasan tersebut.. matanya tepat memandang ke dalam mataku dengan wajah kehairanan.. dan dia bertanya, "kenapa nak beli?"

maka aku berkisah padanya betapa damainya kawasan tersebut dan potensi untuk membangunkannya. dia berkata bahawa dia hanya perlu meminta kebenaran pada pejabat tanah. katanya semua tanah adalah kepunyaan pejabat tanah, bukan milik persendirian.

beberapa tahun dulu aku sering menimbulkan persoalan, ketika senam minda bersama kawan-kawan, mengenai logik kenapa kerajaan harus membayar pampasan kepada penduduk setinggan. sedangkan secara teorinya, penduduk setinggan itu menduduki tanah yang bukan miliknya dan membuat keuntungan. seharusnya penduduk setinggan itu yang membayar pampasan kepada tuan tanah. begitulah logik fikiranku ketika itu.

namun beberapa hari kelmarin, aku memahami persoalan itu dari perspektif yang berbeza. dan dengan memahami itu juga aku dapat mengerti betapa rumitnya persoalan kewarganegaraan bangsa bukan melayu diwaktu zaman aman selepas merdeka. ini hanya satu pandangan dari sudut yang sedikit berbeza.

antara soalan yang aku sering tanyakan ialah adakah tanah yang kita miliki itu benar-benar milik kita? kerna, walaupun tidak ramai yang tahu, kerajaan boleh mengambil alih tanah milik kita yang tidak kita usahakan. dan walaupun kita usahakan atau kita duduki, kita masih membayar cukai tanah kepada kerajaan, bermakna kita bukan pemilik penuh tanah tersebut, kita hanya memiliki hak untuk mengusahakannya. tanah kita adalah milik kerajaan, atau lebih mudah difahami adalah milik raja atau sultan negeri kita. kerna itu raja atau sultan berhak 'membuang negeri' iaitu menghalau kita dari menduduki tanah miliknya.

hanya saja selama mana kita punya hak atas tanah tersebut, kita boleh melakukan apa sahaja termasuklah menjualnya. dan ada pula seorang sahabat memberitahu bahawa tanah yang kita bayar itu hanyalah hak sedalam beberapa kaki sahaja. apa sahaja yang di bawah bumi dalam kawasan tanah kita masih milik kerajaan. 

merujuk kepada kes pulau batu putih, pihak penghakiman memutuskan singapura berhak ke atas pulau tersebut salah satunya ialah kerana terdapatnya aktiviti singapura di kawasan tersebut berbanding negara lain. 

perkara ini juga yang menjadi asas mengapa tanah melayu dianggap milik orang melayu sedangkan kita mengakui akan hadirnya orang-orang asli mendiami kawasan ini sebelum dibangunkan dengan tamadun melayu. persoalan hak adalah bergantung kepada siapa yang mengusahakannya.

dari sudut pandang ini, maka penduduk setinggan yang diarahkan berpindah seharusnya dibayar pampasan kerana mereka yang mengusahakan tanah tersebut. malah jika perspektif ini diambil kira, tuan tanah asal sudah kehilangan hak ke atas tanah tersebut kerana secara pastinya dia tidak membangunkan tanah tersebut dan tidak pernah menghalang orang lain membangunkannya, kecuali jika tuan tanah itu sendiri yang menyewakan tanahnya untuk dibangunkan oleh para setinggan.

seorang sahabat pernah mengetuk akalku dengan pertanyaan, "kenapa perlu beli rumah banyak-banyak? bayangkan jika setiap keluarga hanya dibenarkan mempunyai satu rumah sahaja, atau hanya sekeping tanah, tidakkah lebih ramai orang akan berkemampuan untuk membeli rumah? tidak perlu ada yang berebut dan berbunuhan pasal tanah yang kemudiannya tidak diusahakan."

aku cuma menjawab bahawa sekarang ini tidak ada cukup tanah untuk diberikan pada setiap keluarga. dan tanah juga adalah salah satu bentuk perniagaan. dia kata, "ini semua poyo. itu adalah ilusi yang didogmakan pada setiap orang oleh kapitalis."

merenungi setiap patah perkataannya setelah itu, aku memahami sudut pandangnya. tanah yang kita miliki bukan sepenuhnya milik kita. kita hanya berhak kerana kita mengusahakannya. namun tidak bermakna kita boleh menolak apabila kerajaan mahu mengambil alih hak atas tanah tersebut, kita hanya boleh menolak hitungan pampasan. itu sahaja. tidak ada tanah yang bebas dalam dunia ini, semuanya telah dipunyakan oleh para raja dan para pemerintah dan dibahagi-bahagikan dengan nama negara, atas sebab keselamatan. 

awalnya orang-orang bayar cukai kerna kerajaan ini melindungi mereka, tetapi kerna memang dasar hidup manusia yang kuat itu kudrat, akhirnya orang-orang yang mambayar cukai ini bersetuju menjadi rakyat dan menyerahkan merdeka secara total kepada siapa sahaja yang melindungi mereka. dan kini kita pula tidak boleh sewenang-wenangnya mendirikan rumah di atas mana-mana tanah wiama di dalam hutan sekalipun, kerna semua tanah dalam dunia ini telah dijajah sepenuhnya menjadi kepunyaan kuasa-kuasa yang membahagikan sesama mereka atas nama negara.

walaupun bunyinya seperti itu tapi realitinya sememangnya setiap kelompok orang perlu tempat bernaung dan berlindung dari kejahatan kelompok lain. maka tidak hairanlah jika peniaga haram bersetia kepada kongsi gelap yang melindungi mereka, sepertimana pengikut yang menaksubkan diri kepada pemimpin, sebagaimana rakyat merajakan pelindungnya. ini adalah fitrah manusia.

apa yang menjadi persoalan ialah ilusi mengenai kemerdekaan. pada ramai orang, mereka memaksudkan merdeka itu sebagai kebebasan dalam berbuat apa sahaja dan sebagai satu pengesahan tentang hak mereka; walaupun dari satu persepktif ada kebenarannya.

contohnya, walaupun tanah melayu ini dibangunkan pada awalnya oleh orang melayu dan diperakui kedaulatan negara melayunya selama beratus tahun, namun atas pendirian yang sama, orang bukan melayu setelah zaman merdeka merasakan bahawa mereka juga, malah merasakan mereka melakukan lebih banyak, membangunkan negara ini selama lebih 50 tahun, maka mereka juga merasa berhak dianggap lebih dari sekadar diberi 'hadiah' kewarganegaraan. mereka mahu diakui sebagai pemilik bersama negara ini dan diberi hak yang sama. ini rasional mereka.

aku faham bilamana isu sebegini dibuka maka ia akan dianggap berbau perkauman, berbanding dong zong yang memperjuangkan untuk meletakkan bahasa dan kebudayaan cina menjadi asas budaya 1malaysia. kita akan dianggap perkauman kerna kita adalah pemilik asal, jika kita pendatang maka ia bukan perkauman kerna dianggap mereka hanya sekadar memperjuangkan survival mereka. 

kerna walaupun mereka merasa berhak menjadi pemilik bersama tanah ini, kita masih menganggap bahawa mereka masih belum faham budaya dan agama kita. kita berlunak kerana kta faham bahawa sistem pendidikan yang kita ada selama 50 tahun ini belum dapat mengajar mereka faham bahasa melayu dengan baik, dan kerna itu kita setuju bahawa sekolah vernikular harus diteruskan supaya mereka tidak ketinggalan di tanah ini kerna sukar berbahasa melayu. 

malah menginsafi bahawa mereka baru beberapa keturunan hidup di tanah melayu ini dan memahami kesukaran hidup mereka jauh dari tanah kelahiran datuk nenek mereka, maka menteri kita merasa harus menghormati tetamu yang telah kita anggap saudara dengan mengangkat dan mengesahkan kepentingan bahasa mereka dan berjanji akan terus mengekalkan sekolah vernikular dan memberi bantuan lebih banyak, supaya mereka mampu untuk berlari tanpa ketinggalan dan tidak merasa rendah diri ketika bersama orang melayu.

dan sesetengah orang melayu sendiri merasakan orang bukan melayu juga harus diberi peluang untuk mentadbir sesuai dengan status warganegara mereka. malah mereka juga perlu diberi peluang menjadi pemimpin kepada orang melayu, supaya orang melayu juga boleh belajar sesuatu dari itu.

semua ini terdengar ideal, namun hanya ada satu sahaja yang menjadi kesukarannya. ketika orang melayu boleh berbaju melayu sambil memasang lampu pelita tujuh likur dan membakar mercun berdentam-dentum tanpa kekok  di hari perayaan melayu, mengapa orang bukan melayu masih pelat berbahasa melayu? dan yang lebih menghairankan betapa ramainya anak-anak muda bukan melayu yang tidak tahu berbahasa melayu. tidak seperti di indonesia, thailand dan filipina? jika mereka tidak dapat memahami bahasa melayu, apatah lagi untuk mereka memahami budaya melayu.

ternyata selama 50 tahun ini, orang melayu dapat beradaptasi dan mengasimilasi budaya bukan melayu sebagai tanda muhibbah tetapi yang manakah budaya melayu yang diserapkan ke dalam budaya orang bukan melayu? begitu juga persoalan 1Malaysia yang kebanyakannya disokong oleh orang melayu manakala orang bukan melayu pula mempopularkan budaya mereka sebagai budaya 1malaysia. maaf jika ini terdengar rasis. bukan itu yang jadi tujuanku.

maka kembali kepada isu pemilikan tanah, mengapa orang melayu berlumba-lumba mengumpul hak memiliki tanah? adakah kerna mereka benar-benar mahu mengusahakannya? atau mereka hanya mahu menunggu harga tanah mereka naik untuk dijual? atau mereka menunggu kerajaan mengambil tanah tersebut untuk mendapat pampasan? teringat seorang kawan mengutarakan isu rezab melayu dan berapi-api mempertahankannya, namun hujungnya hanya sebuah lagi retorik politik yang memusatkan segala kesilapan kepada pemerintah yang baginya harus ditukar. baginya tidak ada yang boleh dilakukan oleh rakyat.

namun telah berpendapat pula seorang sahabat mengatakan bahawa ada beberapa instrumen ekonomi yang boleh digunakan untuk menyelamatkan tanah rezab melayu mahu pun tanah-tanah bukan rezab untuk orang melayu. salah satu caranya ialah wakaf. selama ini wakaf, secara popular, hanya diasosiasikan dengan pembinaan masjid, madrasah, dan tanah kubur. yang masih belum dipopularkan ialah wakaf untuk kawasan perniagaan dan perumahan. 

bayangkan jika orang melayu punya tanah wakaf untuk kawasan pasar yang hanya boleh digunakan oleh orang melayu, mungkin boleh disewakan atau mungkin juga boleh percuma, dimana peniaga hanya membayar kos pengurusan sampah. apabila tapak meniaga percuma, tidakkah ia akan merendahkan kos seterusnya akan merendahkan harga barang yang dijual? secara tidak langsung ia sedikti sebanyak menjadi penampan kepada kenaikan harga. dan yang dibayangkan oleh sahabat aku itu bukan sekadar tapak pasar malam tetapi sebuah kompleks perniagaan. aku tidak dapat begitu membayangkan apa yang diperkatakannya tetapi aku memahami konsepnya.

dia juga menambah betapa perlunya ada tanah wakaf untuk perumahan. ini lebih sukar untuk dibayangkan kerana kebanyakan orang isu pemilikan rumah itu adalah penting. rasional sahabatku itu ialah begini. terutama di kawasan bandar, kebiasaannya orang muda yang berhijrah dan bekerja di bandar hanyalah bersifat sementara dan sentiasa berpindah-randah. sementara dalam maksud kebanyakan yang bersara memilih untuk kembali ke kampung halaman masing-masing. 

walaupun kebanyakan orang berpendapat lebih baik bayar kat bank setiap bulan dimana nanti akan menjadi milik, daripada bayar sewa tiap-tiap bulan. yang menjadi isunya ialah bayaran sewa bulanan dan bayaran ansuran sewabeli rumah dengan bank adalah dalam lingkungan nilai yang sama. ini berlaku kerana yang menyewakan rumah juga kebiasaannya masih berhutang dengan bank. bayangkan, katanya, sewa rumah ini di tanah wakaf. maka tidaklah perlu disewakan begitu tinggi, terutama kepada para pelajar. jika sewa rumah ini rendah, dia bayangkan setengah dari apa yang dikatakan nilai sewa semasa, maka setengah dari nilai tersebut boleh disimpan oleh penyewa untuk nanti membeli rumahnya di kampung secara tunai. tidakkah ini menyelamatkan ekonomi orang melayu?

namun inti dari cadangannya ini ialah oleh kerna tanah itu tanah wakaf, maka setinggi apa pun nilai tanah itu, ia tidak boleh dijual. semakin banyak tanah yang diwakafkan maka semakin banyak 'rezab' melayu diselamatkan. tidakkah ini boleh dilakukan oleh semua orang melayu untuk orang melayu? dan dengan wakaf ini juga kita dapat membebaskan tanah dari kerajaan. aku memahami pendapatnya walaupun aku juga pernah terdengar betapa tanah wakaf juga dimanipulasi dan ditukar status oleh ahli politik yang sangat bijaksana.

aku faham jika ramai yang tidak dapat menerima idea ini kerana kebanyakan dari kita menganggap hartanah adalah sebahagian dari profil kewangan kita. dan profil kewangan kita menunjukkan selama mana kemampuan kita untuk berjaya secara ekonomi. ini ekonomi kapitalis kata seorang sahabatku yang lain.

pada pendapatnya, kejayaan ekonomi dalam Islam bukan secara individu. kehebatan ekonomi di zaman Nabi saw dan para sahabat tidak diukur dengan kekayaan individu. hampir seluruh sahabat yang kita kenali sebagai hartawan tidaklah terlihat seperti hartawan di zaman ini. hartawan mereka diukur dengan zakat, infaq dan sedekah mereka. Umar ra infaq separuh hartanya pada ummah, Abu Bakar ra infaq seluruh hartanya. bayangkan penduduk palestin tidak mengenal yang mana satu Umar ra dan yang mana pembantunya ketika beliau tiba di baitul muqaddis. begitu juga dikisahkan di zaman Umar Abd Aziz dimana sukarnya mencari orang yang mahu menerima zakat. ini ekonomi Islam. kekayaan adalah dalam jemaah bukan individu.

maka balik pada diri kita, kenapa kita tidak mahu mencontohi ini? bukan kerna kita tidak mampu tetapi kerana kita tidak mahu percaya dan tidak mahu yakin bahawa sistem Islam ini boleh berjaya di zaman ini. kita takut jadi miskin kerna menginfaqkan harta kita. ini iman kita.

bayangkan betapa ramai dari kita mengelak untuk membeli tanah yang berstatus rezab melayu kerana kita merasa nilai jualnya rendah. namun di masa yang sama kita merungut rezab melayu ditukar status dan dijual kepada orang bukan melayu. ironi, kita sendiri tak mahu tapi kita marah bila orang lain mahu.

ramai dari kita beli rumah, tanah, dan harta-harta yang lain bukan kerana Allah swt. mungkin sebab dulu ita tak tahu. maka sekarang marilah kita menilai semula kewajaran status harta-harta yang kita ada. ini cadangan seorang sahabat aku: senaraikan seluruh harta dan tuliskan kenapa kita membelinya dahulu dan kenapa pula kita harus mempertahankannya sekarang. mudah-mudahan alasan kita mempertahankan harta tersebut kerana Allah swt, bukan kerana nafsu untuk jadi kaya atau dihormati. kemudian, tepuk dada dan tanya semula diri kita sebanyak tiga kali, benarkah kerana Allah swt?

wallahualam.



Read On 2 ulasan

30 minit yang terakhir





ketika sibuk menghitung-hitung dosa yang bertimbun dalam hidupku yang lalu, teringat tazkirah Ustaz Zahazan dalam bas semasa ziarah di tanah haram tahun lepas. hidup di dunia ini sekejap sahaja. Nabi saw bersabda bahawa satu hari di sisi Allah swt sama seperti seribu tahun di dunia. dan Nabi saw juga bersabda bahawa purata umur umatnya ialah sekitar 60 tahun. bermakna hidup kita di dunia ini hanya sekadar lebih kurang 1.5 jam sahaja. aku tersentak menginsafi bahawa hidupku hanya tinggal sekadar selama 30 minit saja lagi di sisi Allah swt. 

tidak apa yang boleh aku lakukan pada 2/3 hidupku yang telah berlalu. segalanya sudah berlaku. tidak ada yang mampu aku lakukan untuk membasuh dosa-dosa laluku melainkan merintih belas kasihan dan meratap ampun kepada Allah swt dalam setiap sujud. kebodohan dan kejahilan masa laluku itu akan aku jadikan sebesar-besar peringatan buat diriku dalam mengharung baki 30 minit terakhir dalam kembara di dunia.

ya Allah! yang nyawa kami ini dalam genggaman-Mu. hanya kepada-Mu sahaja tempat kami mengadu dan mengharap. sesungguhnya kami termasuk orang-orang yang zalim maka lindungilah kami dari kejahatan diri kami sendiri. ampunkanlah dosa-dosa yang telah kami perbuat kerna kebodohan dan kejahilan kami. sesungguhnya diri kami ini tidak bermakna apa-apa tanpa rahmat dan keampunan-Mu. sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Penyayang.

ya Allah! yang Maha Mengetahui segala yang terdetik di dalam hati setiap manusia. hapuskanlah dari hati kami sifat-sifat sombong, ujub, riak dan takbbur, serta semaikanlah hati kami dengan akhlak al-Quran, seperti kekasih-Mu, Rasulullah saw. janganlah Engkau gelincirkan hati kami setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami. kurniakanlah kepada kami rasa cinta dan rindu kepada-Mu dan Rasul-Mu. anugerahkanlah kami kasih-sayang-Mu. sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pemberi Anugerah.

ya Allah! Penguasa kepada sekalian alam, langit dan bumi, dunia dan akhirat. ampunkanlah osa kami, ampunkanlah dosa ibubapa kami, ampunkanlah dosa guru-guru kami, ampunkanlah dosa isteri dan anak-anak kami, ampunkanlah dosa adik-beradik kami, ampunkanlah dosa saudara-mara kami, ampunkanlah dosa sahabat-handai kami, ampunkanlah dosa jiran tetangga kami, ampunkanlah dosa saudara-saudara kami seluruh umat Islam. tautkanlah hati-hati kami dengan tali kasih-sayang kepada-Mu. tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan takdirkanlah kami semua tergolong dikalangan orang-orang yang soleh. sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengkabulkan doa.

Amin. Amin. Amin. ya Rabbal-alamin.
Read On 0 ulasan

bangsa yang sentiasa rugi



sama ada kita perokok atau tidak, sama ada kita pernah pegang kotak rokok atau tidak, aku percaya semua orang tahu di kotak rokok ada amaran yang mengatakan rokok itu membahayakan kesihatan. kalau di negara lain amarannya lebih keras, bukan setakat membahayakan kesihatan, tapi merokok itu membunuh.. smoking/tobacco kills.. kalau betul semua amaran ini, kenapa rokok masih diberi lesen untuk dijual? kenapa tidak diharamkan terus sepertimana dadah diharamkan? ada isu hak asasi? kebebasan bersuara dan berpendapat? adakah untuk mati juga merupakan hak asasi dan kebebasan memilih? atau adakah memang rokok itu sebenarnya tidak begitu mudarat dan iklan itu dilakukan secara berlebihan?
 
begitu juga dalam Islam terang-terang dijelaskan dalam al-Quran bahawa riba itu haram. dalam ayat 275 surah al-Baqarah disebut orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan kerana gila, barangsiapa mengulanginya maka mereka akan menjadi penghuni neraka, dan kekal di dalamnya. malah ayat 279 surah al-Baarah sebut dengan jelas Allah swt memberi amaran yang keras jika kita tidak meninggalkan sisa riba maka Allah swt dan Rasul-Nya akan memerangi kita. nauzubillah. tapi kenapa kita masih menghalalkan riba dalam bank? malah orang Islam yang berurusniaga riba dengan meriahnya. mengapa tak bubarkan saja? adakah kerana kita tidak boleh buat apa-apa? atau kita tak mahu buat apa-apa?
 
kita sebut perbankan Islam sebagai alternatif. mengapa kita sebut alternatif? adakah umat Islam masih bebas untuk memilih urusniaga riba yang terang benderang haramnya? kenapa tidak haramkan saja semua perbankan yang berasaskan riba sepertimana kita mengharamkan judi untuk orang Islam? kenapa kita tidak boleh buat semua ini? atau adakah kita tidak mahu dan tidak peduli sebenarnya? kenapa orang Islam masih diberi alternatif untuk emmilih sesuatu yang sudah jelas halal-haramnya? atau mungkinkah perbankan Islam yang kita ada tidak sehalal yang kita sangkakan? dan jika kita rasa patut orang Islam diberi pilihan untuk memilih riba, tidakkan orang Islam juga patut diberi pilihan untuk berjudi? bukankah riba itu lebih dahsyat amarannya dari Allah swt?
 
hidup kita sudah semakin jauh dari Islam sekarang ini. pernah suatu ketika seorang sahabat mengadu bahawa dia sudah dianggap hebat dan alim dipersekitarannya hanya kerna dia solat 5 waktu. seorang sahabat lain mengadu betapa dia sekarang dianggap ustaz oleh saudara-maranya hanya kerna dia menyampaikan sepotong hadis yang baru dipelajarinya daripada facebook. ini paradigma Islam kita. solat 5 waktu itu, kalau dianggap peperiksaan, hanya sekadar cukup makan saja. jika masyarakat merasakan yang tidak tinggal solat 5 waktu itu sudah hebat, masya-Allah, bagaimana sebenarnya keadaan masyarakat kita? ini hanya asas sebagai muslim. solat 5 waktu belum alim dan wara, hanya syarat asas mengaku muslim. adakah kita rasa hebat setakat memenuhi syarat asas sahaja?
 
kadang-kadang kita jadi sedih bila fenomena tinggal solat itu dianggap perkara biasa. sedangkan ketika Saidina Umar ra ditikam, para sahabat memberitahunya bahawa solat jemaah telah berakhir, Umar ra terus berusaha bangun berdiri untuk solat dalam keadaan tubuhnya masih berdarah. ketika ditanya oleh para sahabat, jawab beliau, "tidak ada bahagian dalam muslim bagi orang yang meninggalkan solat."
 
jika kita rasa biasa apabila sahabat kita tinggal solat, tanpa sekurang-kurang rasa sedih dalam hati yang diumpamanya iman setipis kulit bawang, bagaimana kita berani mengaku kita seorang muslim, yang berpegang pada amar ma'aruf nahi mungkar, kerana kita membiarkan sahabat kita tidak memnuhi syarat sebagai seorang muslim.
 
kita kata susah nak tegur, tapi bila jemaah tabligh datang dari masjid ke masjid, rumah ke rumah, kita pula mencemuh? mereka buat perkara yang kita sendiri dah mengaku susah nak buat. kenapa pula kita tak suka? kenapa kita nak halang dan susah-susahkan? sepatutnya kita bersyukur dan alu-alukan bila ada jemaah tabligh datang ke kawasan kita. tapi ada pula jawatankuasa masjid beri amaran dan tidak beri kebenaran untuk mereka bermusafir di jalan Allah swt. alasannya masjid jadi kotor. kita menolak rahmat dan sunnah memuliakan tetamu hanya kerana kita tidak mahu susah?
 
apa sebenarnya yang kita mahu? kita tidak mahu buat dakwah dengan seribu alasan. bila orang lain buat dakwah, kita pula tidak suka. adakah kita tidak suka ditegur kerana kita juga bukan muslim? bukankah nanti kita menjadi orang-orang yang disebut dalam surah al-Ashr sebagai orang-orang yang dalam kerugian?
 
kebanyakan kita pula sebut kita jaga keluarga kita sendiri saja. namun bagaimana kita mampu menjaga keluarga kita jika masyarakat dan persekitaran kita sendiri adalah risiko terbesar pada iman keluarga kita? bagaimana kita nak tarbiyah Islam dalam keluarga kita bila anak-anak kita melihat dan mengalami keadaan yang berbeza, dari apa yang kita ajarkan, di luar rumah kita?
 
isu murtad yang berlaku kebanyakannya bukan kerana ibubapa tidak memberi ajaran tentang Islam tetapi kerana ketidakmampuan untuk mempertahan kemasukan dakyah dari luar. jika persekitaran kita merbahaya, sanggupkah kita untuk melepaskan anak-anak kita bermain di luar rumah begitu sahaja? cukupkah dengan memakaikan topi keledar, kita yakin anak kita akan selamat bermain basikal di tepi lebuhraya? adakah cukup sekadar dakwah di dalam rumah kita sahaja tanpa cuba juga menyampaikan pesanan-pesanan Rasulullah saw dan ayat-ayat Allah swt pada perkeliling kita? cukupkah sekadar membeli mangga besar dan membina tembok pagar tinggi tanpa melakukan sesuatu untuk memastikan keselamatan persekitaran rumah kita dari para penjahat?
 
mari kita bandingkan fasa Islam kita sekarang dengan fasa awal Islam. difasa manakah kita sekarang? adakah kita masih difasa berdakwah dengan sembunyi-sembunyi? adakah kita masih difasa dakwah kepada ahli keluarga dan kawan-kawan terdekat sahaja? atau adakah kita difasa dakwah secara terang-terangan? iaitu fasa dimana Nabi saw dan para sahabat dihina, dicaci, dipulau, disiksa, ditindih batu, disebat dengan cemeti, waima dibunuh. atau mungkinkah fasa hijrah? fasa madinah? iaitu fasa dimana persaudaraan muslim itu bukan kerana hubungan darah tetapi kerana Allah swt, hubungan yang lebih agung. fasa dimana membina ekonomi untuk jemaah dan masyarakat giat dengan urusan ilmu dan dakwah. mungkinkah fasa daulah? dimana kita harus menjadikan Islam sebagai ad-Din dengan lebih tegas demi menyelamatkan umat manusia?
 
atau sebenarnya kita ini masih dalam fasa jahiliyah? fasa dimana manusia ketika itu tidak dapat melihat jalan keluar dari sistem jahiliyah dan tetap berkubang didalamnya kerana tidak mahu rugi atau hidup susah seperti awwalun muslimun. lalu kita juga harus menunggu sahaja dalam keadaan jahiliyah sehingga dalah diusahakan dan didatangkan oleh orang lain dan dibawa pulang ke tempat kita seperti fasa pembukaan kota Mekah? dan hanya ketika itu baru kita mahu menjadi muslim yang sebenar?
 
tidak malukah kita pada Allah swt dan pada diri kita sendiri bilamana kita mengaku Islam sedangkan kita sendiri tahu bahawa kita tidak memenuhi syarat asasnya? sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian.
 
ya Allah! wahai Tuhan yang menciptakan moyang kami, Adam as, dari segumpal tanah dan menjadikan kami, keturunan seterusnya, dari segumpal darah. Kami berlindung pada-Mu dari kejahatan kami sendiri dan kejahatan makhluk-Mu yang lain. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Tetapkanlah hati-hati kami dalam iman. Terbitkanlah rindu dalam hati kami kepada-Mu dan kepada kekasih-Mu, Rasulullah saw. Perbaikilah akhlak kami dan suntikkanlah keberanian dalam hati kami untuk berjuang di jalan-Mu. pilihlah kami sebagai salah seorang syuhada. hanya Engkau tempat kami menyembah dan tempat kami memohon. dan hanya Engkaulah yang mengkabulkan doa. amin ya Rabbal-alamin.

Read On 0 ulasan

mengapa harus mengundi dalam pilihanraya?




Islam hanya mengenal dua jenis masyarakat, muslim dan jahiliyah. hanya satu perkara yang membezakan manusia, iaitu keimanan mereka terhadap Allah swt. atas dasar itu hanya ada dua sifat negara, negara Islam dan negara kafir. negara yang menjadikan Islam sebagai sistem kenegaraan dan cara hidup masyarakatnya, dan negara yang menjadikan sistem jahiliyah sebagai dasar negaranya. 

sekali lagi, negara Islam adalah negara dimana syariah dijadikan asas perundangan dan pengurusan negara dijalankan dengan musyawarah. dan orang Islam hanya mempunyai dua kemungkinan perhubunganan dengan negara kafir - perjanjian perdamaian atau peperangan. dan negara dimana berlakunya perjanjian damai itu tidak dianggap negara Islam. maka setiap muslim yang bernaung dalam negara bukan Islam hendaklah sentiasa berjihad, sama ada dengan dakwah atau dengan darah, sehingga negara itu menjadi negara Islam dimana Islam menjadi cara hidup dan syariah menjadi perundangannya. 

menjadi muslim bukan hanya dengan kebolehan menyebut beberapa perkataan Arab, atau lahir di negara Islam, atau lahir dalam keluarga Islam. menjadi muslim adalah penerimaan sepenuhnya terhadap Islam dan penghambaan penuh kepada Allah swt. negara Islam yang kita perkatakan bukan sekadar tanah yang kita duduki, bukan bangsa, bukan keturunan dan bukan ikatan kekeluargaan. Islam melihat manusia melampaui batas keturunan, bahasa, budaya dan tanah asal. Islam memerdekakan manusia dari ikatan terhadap dunia dan ikatan darah.

negara Islam yang kita perjuangkan bukan sekadar sekeping tanah, bukan sekadar kerajaan, bukan ikatan kekeluargaan. bendera Islam yang kita bernaung bukan sekadar bendera negara, dan kemenangan Islam yang diraikan dan disyukuri bukan sekadar kemenangan perang. perjuangan dan kemenangan yang kita harapkan berada dibawah naungan panji keimanan, hanya kerana Allah swt, untuk kejayaan agama-Nya dan syariat-Nya, dan mempertahankan negara Islam yang sebenarnya. tiada ada sebab lain. bukan untuk kemegahan dan ketenaran. bukan untuk kedaulatan tanah wilayah. bukan untuk ekonomi. bukan untuk kekuasaan. malah bukan untuk mempertahankan keluarga. tidak ada sebab melainkan kerana Allah swt.

negara dimana muslim dipersulit kehidupan kerana kepercayaan mereka, atau dipersusahkan dari menjalani ibadah agama mereka, atau dimana syariah tidak dilaksanakan, adalah negara kafir. sebutlah istilah apa pun, demokrasi, sosialis, kapitalis, sekular, nasionalis atau kebajikan. walaupun negara itu dihuni majoriti orang Islam. tidak ada muslim atau negara Islam melainkan Islam ditegakkan secara syumul.

aku tidak mengusulkan revolusi bersenjata, terutama apabila ianya tidak perlu. tetapi merealisasikan negara Islam adalah tanggungjawab setiap manusia yang dapat melihat cahaya kebenaran dalam Islam, setiap manusia yang mengaku beriman kepada 'tiada Ilah selain Allah swt'. mengetahui tidak ada kesempurnaan melainkan Islam. dan memahami bahawa manusia diciptakan tanpa sebab selain daripada menyembah Allah swt dan menyampaikan seruan-Nya. bukan tunduk pada manusia lain dan tunduk pada sistem yang diciptakan oleh manusia lain.

namun perjuangan ini tidak akan pernah mudah. jalan ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. tapi percayalah janji Allah swt dan Rasul-Nya. kemenangan Islam tetap akan tiba selagi dalam perjuangan ini hati-hati kita bertaut pada tali Allah swt. Islam telah memerdekakan kita dari perhambaan dan tunduk kepada manusia lain. 

kejayaan dan kegagalan hidup, keseronokan dan kesakitan, tidak ada nilai dan tidak ada ukuran harga, dan tidak menyebabkan untung dan rugi. Allah swt hanya menilai keimanan kita. kejayaan yang unggul ialah kejayaan jiwa terhadap ketakutan dan kesengsaraan, terhadap godaan dunia dan kehidupan - dan ini lah kejayaan yang sebenar.

perjuangan kita bukan sekadar di dunia atau dalam kehidupan ini. perjuangan ini bukan hanya disaksikan oleh manusia, tetapi juga oleh para malaikat. para malaikat itu melebihi jumlah manusia, maka pujian dan rasa hormat para malaikat adalah lebih besar daripada pendapat dan penghakiman manusia di bumi. dan hari akhirat adalah tujuan perjuangan kita. dibahagian mana kita akan berada pada hari semua makhluk dikumpulkan di padang mahsyar. pada hari itu kejayaan yang sebenar akan kita kecapi. 

maka adalah menjadi tanggungjawab kita, bukan hanya sekadar menyampaikan firman Allah swt kepada semua manusia dan menjalani hidup di atas paksi 'tiada Ilah selain Allah swt', tetapi kita juga bertanggungjawab dalam memastikan agama Allah swt ini diagungkan dimana pun kita berada. menjadi keutamaan kita untuk memastikan hukum Allah swt ditegakkan dimana pun kita berada. adalah perjuangan kita untuk meruntuhkan kegelapan jahiliyah dan menyebarkan cahaya kebenaran Islam dimana pun kita berada. secara bersungguh-sungguh dan berterusan tanpa merasa jemu, lelah dan putus asa.

fahamilah bahawa apa yang kita sebut sebagai negara Islam itu bukan sekadar wilayah yang kita duduki. kita mahu mengunggulkan Islam. kita berjuang bukan semata-mata untuk tanah melayu yang kita duduki. negara Islam yang kita maksudkan ialah keadaan dimana Islam dijadikan paksi dan asas sistem dan cara hidup penduduknya - muslim mahupun bukan muslim yang berlindung di bawah panji Islam.

dan jika kita melihat pilihanraya merupakan satu jalan dalam perjuangan kita, maka kita harus mengundi kerana Allah swt. dan kerana itu kita harus memilih pemimpin yang benar-benar teguh berjalan atas jalan Allah swt, yang bersinar sifat muslimnya, atau sekurang-kurangnya yang kita tahu mempunyai asas perjuangan yang sama seperti kita, 

dan atas dasar ini - tanggungjawab untuk menegakkan Islam sebagai sistem dan cara hidup, tanggungjawab menegakkan negara Islam yang sebenar - kita bertanggungjawab untuk mengundi dan memilih pemimpin yang dapat memastikan tujuan unggul ini tercapai. atau sekurang-kurangnya memilih pemimpin yang mempunyai keinginan, tujuan dan dasar perjuangan yang sama. 

dan ketika mengundi, insafilah bahawa apa yang kita lakukan adalah untuk menegakkan Islam. bukan untuk mendapat keselesaan hidup. bukan untuk survival bangsa. bukan untuk meneruskan kekuasaan dunia. tetapi kita mengundi kerana Allah swt, kerana tanggungjawab kita sebagai muslim untuk memastikan Islam menjadi paksi di tempat dimana kita berpijak, kerana kita tahu bahawa ini adalah jihad kita, bukan hanya untuk kemenangan di dunia tetapi juga kemenangan di akhirat. 

ini perjuangan kita. dan inilah kenapa dan bagaimana kita harus mengundi dalam pilihanraya. insya-Allah.

dan atas sebab ini, aku rasa sudah jelas siapa yang akan menjadi pilihan aku.. ;)

Read On 0 ulasan

mencari maksud ketuanan melayu





maka bertanyalah seorang sahabat akan satu soalan yang sangat menarik, walaupun kita sudah biasa mendengarnya. mengapa dalam perlembagaan Malaysia kata Melayu diikat dengan Islam? kebanayakan kita orang melayu nih hanya terima fakta dan tak pernah mahu tahu pun kenapa. sama dengan soalan kenapa kita Islam, kita hanya terima sebab kita memang dah lahir terus Islam, maka kita kena jadi Islam walaupun hidup kita masih jahiliyah.

pertamanya kena faham melayu itu bukan bangsa. inggeris yang ajar kita bahawa melayu itu bangsa. bangsa nih cara jahiliyah nak bezakan kumpulan atas dasar keturunan, kabilah, rupa fizikal dan tempat asal. jadi kalau kita anggap kita nih bangsa melayu maknanya kita nih masih ikut sistem jahiliyah. retorik bunyinya kan? ;) apa sebenarnya maksud aku bila mengulang-ulang ayat melayu bukan bangsa tu?

Rasulullah saw menyampaikan Islam kepada bangsa Arab, dan seluruh manusia umumnya, hanya dengan satu sebab, supaya bangsa Arab kembali kepada Allah swt. untuk kembali kepada Allah swt bangsa Arab harus membebaskan diri mereka dari jahiliyah. bebas dari budaya jahiliyah, bebas dari ketuanan jahiliyah, bebas dari sistem jahiliyah. bukan hanya bebas dalam kehidupan tetapi juga bebas dari segi pemikiran.

hanya dengan memahami 'tiada Ilah yang disembah selain Allah swt' manusia mampu memerdekakan diri mereka dari ketuanan manusia lain dan dari sistem jahiliyah. merdeka dari batasan sekadar setia kepada pemimpin. merdeka dari batasan kabilah, puak, kaum, bangsa dan keturunan. merdeka dari batasan tanah, wilayah, negeri dan nasionalisme. kerana tidak ada yang lain yang boleh menjadi sebab kita melakukan sesuatu, tiada yg lain yang menjadi alasan untuk kita menyembah, selain Allah swt. ini Islam. kemerdekaan yang hakiki.

jika kita masih menghitung warna kulit, budaya, tanah asal, keturunan, waima parti politik, sebagai jalan hidup maka kita masih jahiliyah. masih tidak bebas. masih terikat dengan kehendak dunia, masih tunduk pada manusia lain, masih dalam tepurung jahiliyah.

berkali-kali dikisahkan dalam Quran, kisah Nabi Ibrahim as, Nabi Nuh as, Nabi Lut as, Asiah isteri firaun, malah ketika yahudi sendiri mahu mengakui keturunan mereka sebagai kaum yang terpilih, Allah swt telah menolak dan berfirman bahawa dalam setiap era, dalam setiap bangsa dan dalam setiap negara, hanya ada satu kriteria sahaja yang penting, iaitu keimanan.

dalam konteks negara, yang kita sebut ibu pertiwi adalah tempat dimana ketuanan Islam, cara hidup Islam dan undang-undang Allah swt menjadi dominan. apabila sesebuah negara mempunyai ciri-ciri ini maka negara itu mempunyai nilai untuk dipanggil ibu pertiwi. hanya ketuanan yang berupa kepercayaan dan cara hidup yang diisi dengan Islam mempunyai nilai maruah kepada manusia. tanpa Islam ketuanan itu tidak mempunyai nilai apa-apa untuk wajar diperjuangkan.

yang menjadi kekeliruan orang melayu ialah apabila Islam tidak lagi menjadi sistem dan cara hidup kita. kerna itu memperjuangkan melayu bukan lagi bermaksud memperjuangkan Islam, hanya perjuangan sebatas rupa wajah, budaya dan keturunan. kerna itu ada antara melayu yang mengakui kewujudan melayu kristian, melayu gay, melayu umno, melayu pkr, melayu dap dan melayu pas. melayu bukan lagi sistem dan cara hidup kita, hanya sekadar bangsa keturunan. kerana itu orang melayu dulu mengunakan istilah 'masuk melayu' kepada orang yang kembali kepada Islam, dan waktu ini 'masuk Islam' itu bukan lagi 'masuk melayu'. kita menidakkan Islam dalam tempurung bangsa keturunan kita untuk membezakan kita dari keturunan lain.

malah terkini kita makin mencelarukan ikatan melayu-Islam ini dengan menterbalikkan makna. sekarang ini bila kita labelkan sesuatu dengan Islamik, kita hanya merujuk kepada orang melayu. kita membangsakan Islam. memperjuangkan Islam terkadang hanya kata-kata yang kita gunakan semata-mata untuk memperjuang keturunan kita. bila kita sebut membantu orang Islam, kita menidakkan survival muslim yang datang dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan Filipina di negara kita. kerana yang kita maksudkan dengan muslim yang patut kita anggap sebagai saudara adalah orang melayu sahaja. kita menuntun diri kita kembali menjadi jahiliyah.

dalam sejarah kita sendiri telah ditunjukkan berkali-kali hanya dengan kembali menjadikan Islam sebagai sistem dan cara hidup, orang melayu mampu benar-benar memerdekakan diri mereka. dan hanya ada satu perkara yang menjadi ukuran melayu - iman mereka kepada Allah swt. dan jika iman bukan lagi syarat utama, melebihi keturunan dan budaya, maka melayu itu sudah tidak berbaloi lagi untuk dipertahan dan diperjuangkan.

ini dilema orang melayu. memilih sama ada menjadikan sistem dan cara hidup mereka sebagai Islam atau jahiliyah. ini yang menjadikan sebahagian dari melayu tidak mahu lagi berjuang atas nama melayu, kerana melayu kita sekarang bukan lagi melayu yang sebenar. melayu kita sekarang sudah beransur menjadi jahiliyah, yang masih terkekang untuk tunduk kepada manusia lain. yang hatinya masih melekat pada keseronokan ilusi dunia. yang berjuang untuk menjadi lebih hebat dimata manusia lain, untuk kesombongan dan memuaskan nafsu yang tiada gunanya.

maka mari kita insafi bersama-sama, ketika kita menyebut diri kita melayu, adakah kita merujuk kepada keimanan kita atau hanya sebatas keturunan kita. dan insafilah keturunan darah kita tidak bermakna apa-apa. hanya ketika mengakui kita melayu kerana keimanan kita kepada Allah swt, maka ketika itu perjuangkanlah melayu. jika tidak kita adalah ibarat bapa Nabi Ibrahim as, anak Nabi Nuh as dan isteri Nabi Lut as, dan mungkin saja kita adalah suami kepada Asiah, yang akhirnya tenggelam dalam belahan Laut Merah. nauzubillah.

jika politik ketuanan melayu yang kita pertahankan berada atas paksi menjadikan Islam sebagai sistem dan cara hidup, maka wajarlah kita memperjuangkannya. namun jika perjuangkan itu semata-mata untuk memuliakan keturunan kita dan mengguna kuasa atas tanah wilayah yang kita duduki untuk kepentingan keturunan kita semata-mata, maka sangat wajar kita menolaknya bersungguh-sunnguh.

jika perjuangan menegakkan Islam juga didasarkan untuk meletakkan keturunan kita lebih tinggi dari keturunan lain dan bertujuan untuk mendapat kuasa supaya kepentingan keturunan kita dapat dipaksakan melebihi kepada puak lain, maka sangat wajar juga kita menafikannya.

walau apapun istilah yang kita pakai, dalam zaman keliru ini, intai semula hati kita. apa yang kita perjuangkan? adakah kita memperjuangkan kemerdekaan atas 'tiada Ilah selain Allah swt', atau adakah kita hanya mahu kaum kita dilebih-lebihkan daripada orang lain?  tidak ada perjuangan yang benar melainkan untuk menegakkan 'tiada Ilah selain Allah swt'.

moga Allah swt memberi petunjuk dan jalan keluar buat kita semua. Amin.



Read On 0 ulasan

Cauvinis Melayu dan Ekstremis Islam



seorang kenalan yg bukan melayu dan bukan warga malaysia hairan mengapa perkauman dan agama merupakan isu sensitif di Malaysia berbanding di negara mereka. maka aku terpaksa, buat kesekian kalinya, memberi ceramah sejarah Tanah Melayu, yang aku pun dah banyak kali menulis untuk memperjelas kenapa, mengapa dan bagaimana.

hanya saja terkini, setelah beberapa lama mencuit perkauman, bara dihangatkan semua dalam isu agama. aku sendiri tidak pasti sama ada kita benar-benar bersedia untuk mencipta sebuah negara Malaysia yang benar-benar Malaysia, yang bukan bermaksud Tanah Melayu lagi.

awal mulanya kita diminta menerima bahawa setiap warga Malaysia yang berbilang bangsa adalah penduduk Tanah Melayu. bukan lagi bangsa melayu, cina, india dan sebagainya. secara logiknya, bangsa cina dan india sewaktu era awal kemerdekaan boleh kita anggap sebagai pendatang yang kita kurniakan hak istimewa sebagai warga Tanah Melayu. tetapi generasi mereka yang terkemudian - yang lahir di Tanah Melayu dan membesar di Tanah Melayu, tidak pernah mengenal tanah China dan India, walaupun masih menganggap diri mereka bangsa cina dan india dan dengan seluruh kekuatan dan kemampuan mahu mempertahankan budaya cina dan india mereka - agak sukar untuk kita menidakkan taraf bukan pendatang terhadap mereka.

aku faham bila ada pula bangsa bukan melayu ini menggunakan alasan bahawa melayu di Tanah Melayu juga pendatang dari Indonesia dan sekitar kepulauan Melayu. aku faham kerana mereka buta sejarah dan menganggap Tanah Melayu hanya tanah semenanjung. aku faham kerana mereka tahu benar bahawa tidak penting untuk mengerti bahawa seluruh kepulauan di daerah ini merupakan kesatuan dalam empayar Melayu zaman dahulu kala. aku faham jika mereka tidak mahu tahu kalau berpindah-randah dalam lingkungan kepulauan ini tidaklah dianggap pendatang. aku faham perspektif mereka, jadi tidak perlulah diperbincangkan dengan terperinci lagi.

yang sejak dari dulu tidak aku fahami ialah mengapa bangsa yang masih berbangga dengan keturunan mereka menganggap orang melayu itu bersifat perkauman, sedangkan orang melayu sendiri yang memberi hak kepada mereka di Tanah Melayu. maksud aku, mereka masih boleh mengekalkan jatidiri keturunan mereka tetapi seharusnya mereka sudah berbenah dalam budaya Tanah Melayu. mengapa mereka masih perlu sistem pendidikan dalam bahasa mereka dan memaksakan orang melayu untuk menerima budaya dan cara mereka? bagaimana mereka boleh menganggap mereka warga Tanah Melayu bila mereka masih pelat bercakap melayu malah ramai dikalangan mereka masih tidak memahami budaya melayu, malah tidak memahami makna papan tanda dalam bahasa melayu sehingga mahu papan tanda dalam bahasa dan tulisan bangsa mereka sendiri. ini sebenarnya yang menjadi asas kesangsian orang melayu. 

namun kerana logika kelahiran Tanah Melayu mereka, maka segelintir orang melayu memahami betapa keperluan untuk menganggap mereka juga warga mutlak Tanah Melayu, bukan sebagai bangsa yang diberi hak istimewa sebagai warga. namun bukan itu yang mahu perbincangkan kali ini. 

terkini, setelah keterbukaan kita untuk melampaui batas perkauman dan berlapang dada untuk menerima mereka sepenuhnya tanpa prejudis bangsa, mereka mahu keterbukaan kita pula tentang beragama. katakanlah kita telah bersetuju untuk menghapuskan hak keistimewaan orang melayu dari perlembagaan, dan mewujudkan keadilan sosial berdasarkan merit seperti yang dicanangkan, adakah kita juga bersedia untuk menghapuskan keistimewaan Islam sebagai agama rasmi dan membuka keadilan beragama seperti yang mereka dambakan?

aku sering dianggap cauvinis bangsa dan ekstremis agama hanya kerana tidak bersetuju dengan keterbukaan sebegini dalam konteks Malaysia. walaupun berkali-kali aku menjelaskan bahawa ketidaksetujuan aku mengenai perkara ini bukan kerana kebencian, tetapi kerana keperluan dan kerana semua bangsa, termasuk bangsa cina dan india, tidak bersedia untuk merealisasikan perkara ini. masih banyak yang perlu dilakukan untuk merobohkan kesangsian bangsa melayu terhadap bangsa-bangsa lain yang telah mereka wargakan sebagai warganegara. situasi Tanah Melayu sangat berbeza dengan Indonesia dan Filipina.

walaubagaimana pun, mungkin juga ada benarnya kita harus menukar perlembagaan kita menjadi seperti perlembagaan Indonesia dan Filipina. semua bangsa dianggap sama dan semua agama dianggap sama wibawa. dan mungkin kita akan menjadi lebih baik dari mereka kerana mereka tidak punya sekolah berbahasa cina sedangkan kita punya sekolah dengan bahasa pengantar cina dan india. atau mungkin juga kita akan jadi lebih baik jika kita mengangkat bahasa mandarin dan bahasa tamil juga sebagai bahasa kebangsaan. 

mungkin dengan keterbukaan dalam perlembagaan yang sebegini generasi Malaysia yang terkemudian akan menjadi lebih hebat kerana menguasai tiga bahasa utama. dan mungkin Malaysia boleh menjadi contoh kepada dunia mengenai toleransi beragama apabila masjid, gereja dan kuil juga akan dipenuhi oleh bangsa melayu. maka tidak akan ada lagi ekstremis agama, terutama di kalangan bangsa melayu, yang akan menghalang-halang usaha dakyah agama lain. mungkin Malaysia akan menjadi benar-benar 'truly asia' apabila orang melayu tidak lagi terhalang oleh undang-undang syariah yang hanya dikhususkan untuk orang melayu.

mungkin ini yang perlu orang melayu bayangkan dan hadirkan dalam impian mereka demi untuk melihat pembentukan bangsa 1Malaysia yang sebenar. mungkin dengan terwujudnya semua ini, maka Malaysia lebih progresif dalam menuju untuk menjadi sebuah negara maju dan makmur. mungkin orang melayu perlu mula menyediakan minda mereka untuk menzahirkan semua ini. mungkin sudah sampai waktunya kita menjadi realistik untuk membuang semua perkara ini yang menghalang kemajuan orang melayu. mungkin benar kita tidak perlukan ketuanan Melayu dan selaras dengan itu mungkin kita juga sudah seharusnya bersedia untuk menganggap kesetaraan wibawa dan menghormati sepenuhnya akan hak dan keperluan agama-agama lain. 

mungkin kita sudah tidak perlu lagi menganggap kita ini orang melayu, tapi sebagai bangsa 1Malaysia, dan kita tidak perlu terlalu mengangkat-angkat Islam kerana sudah sampai masa kita harus menganggap Islam hanyalah salah satu teori beragama sama seperti agama lain. 

dan ketika ramai orang melayu mahu bersetuju dengan kemungkinan-kemungkinan di atas, sejujurnya maafkan aku kerana aku lebih rela dianggap cauvinis melayu dan ekstremis Islam untuk tidak bersetuju dengan semua itu.

Read On 1 ulasan

Mengapa aku tidak mengundi PAS




Satu-satunya sebab aku teruja nak mengundi PAS dalam pilihanraya ialah keinginan untuk melihat pembentukan negara Islam. cuma persoalannya ialah negara Islam yg bagaimana? kerna dicontohkan dalam banyak kerajaan dan republik Islam yang sedia ada di dunia sekarang ini tidaklah benar-benar sebuah negara Islam pada rohnya, hanya Islam pada nama dan pada undang-undang sahaja. banyak masjid yang cantik dan gah, seperti Malaysia, tetapi tetap banyak juga permasalahan dalam jemaah.

Keinginan untuk melihat pembentukan negara Islam adalah untuk melihat Islam ditegakkan sebagai satu cara hidup, bukan sekadar mengisytihar perlembagaan dan mengimplementasikan hudud. mengharap agar nuansa Daulah Islamiyyah kembali mengharum seperti zaman kegemilangan Islam, atau yang terbaiknya seperti keadaan di zaman Rasulullah saw dan Khulafa ar-Rasyidin.

Maka persoalannya, adakah dengan mengundi PAS dalam pilihanraya umum nanti kita dapat merealisasikan semua ini?

Jika kita lihat pada generasi awal muslim, merenung sifat yang terkandung dalam ayat-ayat awal yang diturunkan di Mekah, ia tertumpu pada meresapi makna syahadah. Tiada Ilah yang disembah melainkan Allah swt. inti pada syahadah ini adalah membebaskan diri dari jahiliyah. baik dari segi penyembahan berhala, malah juga dari budaya dan kekuasaan manusia lain. hanya dengan menumpukan seluruh aspek kehidupan terhadap pengertian syahadah, maka manusia terbebas dari jahiliyah, bebas dari kemestian-kemestian dan keterpaksaan. ini maksud kemerdekaan yang sebenar.

Dan genereasi awal muslim, tidak mempelajari al-Quran untuk pengetahuan atau sebagai satu cara mencari jalan penyelesaian terhadap masalah kehidupan, tetapi mereka mempelajari al-Quran hanya untuk mengetahui apakah suruhan dan larangan Allah swt dan terus serta-merta mengaplikasinya dalam kehidupan seharian mereka. mereka tidak terus menghafal semua ayat al-Quran yang diturunkan tetapi menghafal hanya beberapa ayat pada suatu jangkamasa untuk menerapkan firman Allah swt dalam kehidupan mereka. mereka melakukannya hanya kerna Allah swt. dan inilah yang disemai dan dipupuk selama 13 tahun Rasulullah saw berdakwah di Mekah. kerna al-Quran itu cara hidup mereka, maka mereka sangat tegar dan tabah menahan segala cubaan dan ujian yang Allah swt timpakan kepada mereka. tidak sekali pun mereka berpaling dari apa yang mereka tanamkan di hati mereka. tidak tergugat sedikit pun harapan mereka terhadap syurga Alah swt. tidak sesaat pun hilang rindu mereka kepada Allah swt. 

Itulah jua yang berlaku di Madinah sebelum ketibaan Rasulullah saw. kerna itu Muhajirin yang datang dianggap sebagai saudara kandung oleh Ansar. kerna dalam jiwa mereka itu ada Islam dan cara hidup mereka adalah Islam. apa sahaja wahyu yang turun langsung mereka aplikasikan, tidak menunggu-nunggu dan tanpa ragu-ragu. dan ketika masyarakat yang benar-benar muslim sudah tersedia maka barulah turun wahyu mengenai permasalahan masyarakat hingga seterusnya pembangunan Daulah.

Jika Allah swt mengkehendaki, boleh saja langsung turun al-Quran secara lengkap, atau boleh saja turun ayat-ayat Mekah berupa peraturan-peraturan yang dapat menyelesaikan permasalahan jemaah. namun Alah swt Maha Mengetahui apa yang terbaik mengikut fitrah makhluk yang diciptakan-Nya. hanya setelah wujud jemaah muslim yang sebenar, maka pembinaan Daulah dimulakan.

Dalam konteks negara kita sekarang, adakah kita sudah mempunyai jemaah muslim yang sebenar? adakah akhlak jemaah PAS semuanya sudah terbentuk dengan akhlak al-Quran? adakah kepimpinan yang ada dalam PAS sekarang ini benar-benar layak untuk memimpin ummah? atau mungkinkah mereka menjadi satu lagi tirani atas nama agama? namun bukan ini sebab utama aku tidak mengundi PAS.

Soalan asasnya adakah masyarakat kita benar-benar bersedia untuk hidup dalam negara Islam? pandang pada diri kita, pandang sekeliling kita, adik beradik, sanak saudara, sahabat handai, dan jiran tetangga kita. jengok semula dan perhatikan dengan teliti keadaan rumah kita. adakah kita benar-benar memodel kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat ra?

Tanya pada diri kita mengapa kita mahukan negara Islam? supaya tidak ada rasuah dalam kepimpinan? supaya para pemimpin kita lebih perihatin kepada kita? kita mahu kehidupan kita tenang? mudah cari makan? mudah cari harta? kita mahu negara menjadi lebih makmur dan selamat? tapi adakah kita bersedia untuk menjadikan Islam sebagai cara hidup kita?

Bagaimana kalau pemimpin negara Islam kita kelak mengharamkan filem-filem dan muzik? menukar sistem pendidikan nasional berteraskan Islam? bagaimana jika orang-orang perempuan hanya dihadkan untuk pekerjaan-pekerjaan tertentu? pergaulan lelaki dan perempuan dipisahkan? orang perempuan mempunyai kaunter sendiri? bagaimana jika setiap pejabat dan kedai mesti memberhentikan urusan mereka sekurang2nya selama 20 minit setiap kali azan dilaungkan dan setiap orang lelaki wajib hadir dalam solat jemaah? setiap orang perempuan tidak dibenarkan memakai pakaian yang tidak menutup aurat? bagaimana jika tabaruj diharamkan pada perempuan? malah bagaimana jika hijab dikuatkuasakan? susah betul jadi orang Islam ya? itu baru cerita bahagian yang mudah-mudah.. ;)

Melalui pemerhatian di beberapa negara Islam yang sempat bermastautin, kebanyakan dari penguatkuasaan undang-undang Islamik begini hanya mengundang kebencian terutama pada golongan muda. malah ada pula negara republik Islam tetapi tidak pun menguatkuasakan undang-undang syariah. masalahnya bukan pun pada penggubalan undang-undang mahupun pada penguatkuasaan, tetapi penerimaan masyarakat terhadap undang-undang tersebut. 

Balik pada persoalan jemaah kita, kebanyakan yang menyokong PAS bukan kerna cintakan Islam tapi kerna benci sangat kat puak satu lagi. ini jelas kelihatan dalam ayat-ayat dan bahasa tubuh ahli PAS dan para simpatisan PAS. maaf cakap, tapi selalu sangat lihat dan dengar perkataan yang keluar dari mulut mereka mencuit Islam tanpa adab dan akhlak al-Quran. bukan semua tapi kebanyakannya macam tu. maka jika ahli PAs dan para simpatisan yang menyokong juga bukan cermin muslim sebenar, bagaimana agaknya jemaah yang di luar PAS?

Secara peribadi, tanggungjawab yang utama ialah membina jemaah muslim yang sebenar, supaya keluar dari kehidupan jahiliyah, yang hanya berpegang pada syahadah sebagai cara hidup. selagi ini tidak mampu diwujudkan dalam jemaah, maka bukanlah keutamaan untuk merebut-rebut kuasa. nanti hujungnya hanya sama seperti tirani yang lain. malah lebih buruk nanti Islam dihina-hina kerana masyarakat yang hanya muslim di kad pengenalan akan mengutuk-kutuk nama Islam dalam PAS. dan waktu itu, kita pula terpaksa sibuk menepis-nepis kerana mempertahankan Islam. adakah waktu itu kita benar-benar mempertahankan Islam atau hanya sekadar mempertahankan parti kita yang menggunakan perkataan Islam?

Memang benar pendapat ini terlalu idealis. tapi inilah jalan yang Rasulullah saw tunjukkan pada kita. kejatuhan empayar Islam bukan kerna pemimpin Islam kalah pilihanraya, bukan kerna kalah perang, bukan kerna miskin dan tertindas, tetapi kerana tiada wujud roh muslim yang sebenar dalam masyarakat. pendapat ini bukan retorik tetapi berasaskan realiti jemaah kita. benar Islam sedang bangkit, kerna itu kebangkitan ini harus disemarakkan tanpa tergesa-gesa. lihat saja apa yang berlaku, perpecahan jemaah kita kerana mazhab politik semakin memburuk.

Kalaupun kita anggap UMNO itu sesat dan kafir, maka menjadi tanggungjawab kita untuk berdakwah dan mentarbiyah mereka. bukankah itu tanggungjawab kita sebagai muslim? keutamaan mengajak muslim yang lain kembali ke jalan yang lurus lebih besar dari keutamaan mengajak kafir kembali ke jalan Islam. jika UMNO masih mengaku Allah swt sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Nabi Muhammad saw sebagai pesuruh Allah swt, maka sesesat mana pun mereka, tanggungjawab kita, yang mengaku berada dalam lingkungan hidayah Allah swt, untuk menunjukkan jalan kepada mereka tanpa rasa penat dan jemu. terus menerus berdoa dan mendekati mereka. bukankah itu keutamaan muslim?

Atau adakah lebih mudah untuk kita melabelkan mereka sebagai fasik, malah munafik, supaya kita dapat memerangi mereka? adakah ini yang kita mahukan? adakah kemarahan kita ini kerana Allah swt? adakah benar mereka munafik dan kita ini puak yang diredhai Allah swt? benarkah pangkat syuhada itu milik kita jika kita memerangi mereka? jika benar memerangi UMNO itu jalan jihad untuk mendapat syahid, mengapa kita teragak-agak untuk mengangkat saja senjata memerangi mereka? atau kita agak-agak saja? fi sabilillah nih boleh main agak-agak ke?

Adakah hanya dengan punya kuasa kita boleh melakukan segala-galanya? hanya dengan kuasa maka kita boleh mengimplementasi Islam sebagai cara hidup? jika tiada kuasa, kita tak boleh buat apa-apa? adakah ketika Rasulullah saw sampai ke Madinah, baginda saw terus mendapat kuasa? bukankah baginda saw menekankan pembangunan jatidiri muslim dalam ummah sebelum berkisah tentang kuasa? apa yang kita dah buat? mana  model pembangunan muslim kita? jangan anggap jika berjaya di Kelantan maka perkara yang sama boleh didogmakan di negeri lain? ada sesuatu dalam budaya orang Kelantan yang tidak ada dalam budaya penduduk negeri lain.

Kita perlu rasa malu pada Arqam, disebalik label sesat yang dicap pada mereka, yang mampu membangun jemaah mereka dengan jatidiri yang hebat. kita patut belajar memerintah dari kumpulan Muhammadiyah di Indonesia yang berkembang pesat dengan ribuan sekolah, universiti dan hospital. menjadi hebat di bidang ekonomi tanpa perlu menjadi sebahagian dari kerajaan Indonesia. dan banyak lagi contoh telah ditunjukkan kepada kita betapa kita mampu merubah jemaah dan negara tanpa perlu memegang kuasa pemerintahan. adakah kita telah cuba melakukan semua cara ini?

Kalau memang benar UMNO itu menzalimi rakyat, dan menjadi kewajiban kita menghalang kerosakan, apakah jaminan apabila PAS menjadi kerajaan maka PAS tidak akan zalim dan berbuat kerosakan? apa bukti yang menunjukkan PAS benar-benar ikhlas dan mampu melakukan semua itu? yang terlihat kebanyakan pemimpin lebih sibuk mempertahankan kedudukan mereka. hanya tipikal politikus. ketika PR menguasai Selangor, jelas apa yang dilakukan oleh orang-orang PAS sama persis seperti apa yang dilakukan oleh orang-orang UMNO. jangan menafikan ini kerna ini adalah kisah benar, bukan semua tapi kebanyakannya.

Aku tidak akan mengundi PAS kerana rakyat Malaysia belum bersedia jadi muslim. masih banyak kerja yang harus dilakukan. sokongan mereka terhadap Islam hanya kosmetik kerana mereka belum mencerminkan muslim yang sebenar. masih penuh benci, marah, sombong dan takabbur. kebanyakannya bukan menyokong kerna Islam tetapi kerana mahu melihat UMNO tumbang. 

Kata-kata betapa kalau kita nak tunggu semua orang sedar, maka kita akan terlambat, hanyalah kata-kata alasan kerana kita malas nak buat kerja dakwah yang sebenar. kita tak sabar sebab kita rasa hidup kita susah. kita nak jalan pintas. bukan murni kerana Allah swt.

Aku tidak mengundi PAS kerana bukan semua pemimpin PAS itu berjalan atas denai Islam. aku faham kesukaran untuk memilih yang terbaik kerana demokrasi dalam parti. bayangkanlah jika demokrasi dalam parti sendiri berupaya untuk menaikkan orang hina yang popular di atas kerusi orang alim dan wara, apakah jaminan PAS mampu mengawal demokrasi di luar parti?

Kata-kata betapa keutamaan mendapat kuasa sebagai satu keperluan dalam mendapatkan jalan untuk menegakkan Islam, hanyalah kata-kata alasan untuk mendapat kekuasaan, atau dalam sebahagian realiti, hanya kata-kata alasan untuk menyokong strategi menjahanamkan musuh yang sangat-sangat kita benci. bukan murni kerana Allah swt.

Aku tidak akan mengundi PAS kerana secara peribadi aku tidak percaya lagi pada sistem demokrasi. dimana-mana di dunia sekarang ini telah menunjukkan kegagalan sistem demokrasi, mengapa harus kita pula penuh perasaan menyokongnya? jika benar tiada pilihan lain, maka kita perlu cipta pilihan tersebut. mengapa harus jadi pasrah pada sistem ciptaan manusia? mengapa harus mengikut sistem jahiliyah?

Kata-kata betapa kita tidak ada pilihan lain, hanyalah kata-kata alasan kerna kita bukanlah muslim yang sebenar. kita hanya orang-orang yang tahu tentang Islam serba sedikit, tapi hati kita penuh dengan dunia. kita bukan muslim yang berpegang teguh pada syahadah, tidak ada Ilah yang disembah selain Allah swt. kita masih sebahagian dari kaum jahiliyah yang hanya melihat Islam sebagai teori agama, bukan cara hidup. 

Ketika kita bangun pagi untuk solat subuh, cuba lihat rumah kita. semasa makan tengahari selepas solat zohor, pandanglah persekelilingan tempat kerja kita. waktu nanti kita pulang selepas asar dari kerja, berhentilah di muka pintu dan lihat ke dalam rumah kita. dan lihatlah bagaimana keluarga kita mengisi antara solat maghrib ke solat isya hingga ke subuh. benarkah kita muslim? atau kita hanya rasa kita muslim sebab nama kita nama arab?

Terlalu banyak yang perlu kita lakukan dalam jemaah selain daripada sibuk berebut kuasa. jika benar kuasa itu dapat menegakkan Islam, sudah tentu Allah swt telah menentukan Rasulullah saw mendapat kuasa di Mekah pada awal dakwah baginda saw. bukankah jalan yang sebenar itu adalah jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw?

Jika kita tidak benar-benar mahu melakukan ini semua murni kerana Allah swt semata-mata, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh mencipta jemaah muslim yang sebenar, maka aku ada sebab untuk tidak mengundi PAS..

..tapi tidak bermakna aku akan mengundi UMNO. ;)

Read On 0 ulasan

circle of frens

blogroll

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008