bangsa yang sentiasa rugi



sama ada kita perokok atau tidak, sama ada kita pernah pegang kotak rokok atau tidak, aku percaya semua orang tahu di kotak rokok ada amaran yang mengatakan rokok itu membahayakan kesihatan. kalau di negara lain amarannya lebih keras, bukan setakat membahayakan kesihatan, tapi merokok itu membunuh.. smoking/tobacco kills.. kalau betul semua amaran ini, kenapa rokok masih diberi lesen untuk dijual? kenapa tidak diharamkan terus sepertimana dadah diharamkan? ada isu hak asasi? kebebasan bersuara dan berpendapat? adakah untuk mati juga merupakan hak asasi dan kebebasan memilih? atau adakah memang rokok itu sebenarnya tidak begitu mudarat dan iklan itu dilakukan secara berlebihan?
 
begitu juga dalam Islam terang-terang dijelaskan dalam al-Quran bahawa riba itu haram. dalam ayat 275 surah al-Baqarah disebut orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan kerana gila, barangsiapa mengulanginya maka mereka akan menjadi penghuni neraka, dan kekal di dalamnya. malah ayat 279 surah al-Baarah sebut dengan jelas Allah swt memberi amaran yang keras jika kita tidak meninggalkan sisa riba maka Allah swt dan Rasul-Nya akan memerangi kita. nauzubillah. tapi kenapa kita masih menghalalkan riba dalam bank? malah orang Islam yang berurusniaga riba dengan meriahnya. mengapa tak bubarkan saja? adakah kerana kita tidak boleh buat apa-apa? atau kita tak mahu buat apa-apa?
 
kita sebut perbankan Islam sebagai alternatif. mengapa kita sebut alternatif? adakah umat Islam masih bebas untuk memilih urusniaga riba yang terang benderang haramnya? kenapa tidak haramkan saja semua perbankan yang berasaskan riba sepertimana kita mengharamkan judi untuk orang Islam? kenapa kita tidak boleh buat semua ini? atau adakah kita tidak mahu dan tidak peduli sebenarnya? kenapa orang Islam masih diberi alternatif untuk emmilih sesuatu yang sudah jelas halal-haramnya? atau mungkinkah perbankan Islam yang kita ada tidak sehalal yang kita sangkakan? dan jika kita rasa patut orang Islam diberi pilihan untuk memilih riba, tidakkan orang Islam juga patut diberi pilihan untuk berjudi? bukankah riba itu lebih dahsyat amarannya dari Allah swt?
 
hidup kita sudah semakin jauh dari Islam sekarang ini. pernah suatu ketika seorang sahabat mengadu bahawa dia sudah dianggap hebat dan alim dipersekitarannya hanya kerna dia solat 5 waktu. seorang sahabat lain mengadu betapa dia sekarang dianggap ustaz oleh saudara-maranya hanya kerna dia menyampaikan sepotong hadis yang baru dipelajarinya daripada facebook. ini paradigma Islam kita. solat 5 waktu itu, kalau dianggap peperiksaan, hanya sekadar cukup makan saja. jika masyarakat merasakan yang tidak tinggal solat 5 waktu itu sudah hebat, masya-Allah, bagaimana sebenarnya keadaan masyarakat kita? ini hanya asas sebagai muslim. solat 5 waktu belum alim dan wara, hanya syarat asas mengaku muslim. adakah kita rasa hebat setakat memenuhi syarat asas sahaja?
 
kadang-kadang kita jadi sedih bila fenomena tinggal solat itu dianggap perkara biasa. sedangkan ketika Saidina Umar ra ditikam, para sahabat memberitahunya bahawa solat jemaah telah berakhir, Umar ra terus berusaha bangun berdiri untuk solat dalam keadaan tubuhnya masih berdarah. ketika ditanya oleh para sahabat, jawab beliau, "tidak ada bahagian dalam muslim bagi orang yang meninggalkan solat."
 
jika kita rasa biasa apabila sahabat kita tinggal solat, tanpa sekurang-kurang rasa sedih dalam hati yang diumpamanya iman setipis kulit bawang, bagaimana kita berani mengaku kita seorang muslim, yang berpegang pada amar ma'aruf nahi mungkar, kerana kita membiarkan sahabat kita tidak memnuhi syarat sebagai seorang muslim.
 
kita kata susah nak tegur, tapi bila jemaah tabligh datang dari masjid ke masjid, rumah ke rumah, kita pula mencemuh? mereka buat perkara yang kita sendiri dah mengaku susah nak buat. kenapa pula kita tak suka? kenapa kita nak halang dan susah-susahkan? sepatutnya kita bersyukur dan alu-alukan bila ada jemaah tabligh datang ke kawasan kita. tapi ada pula jawatankuasa masjid beri amaran dan tidak beri kebenaran untuk mereka bermusafir di jalan Allah swt. alasannya masjid jadi kotor. kita menolak rahmat dan sunnah memuliakan tetamu hanya kerana kita tidak mahu susah?
 
apa sebenarnya yang kita mahu? kita tidak mahu buat dakwah dengan seribu alasan. bila orang lain buat dakwah, kita pula tidak suka. adakah kita tidak suka ditegur kerana kita juga bukan muslim? bukankah nanti kita menjadi orang-orang yang disebut dalam surah al-Ashr sebagai orang-orang yang dalam kerugian?
 
kebanyakan kita pula sebut kita jaga keluarga kita sendiri saja. namun bagaimana kita mampu menjaga keluarga kita jika masyarakat dan persekitaran kita sendiri adalah risiko terbesar pada iman keluarga kita? bagaimana kita nak tarbiyah Islam dalam keluarga kita bila anak-anak kita melihat dan mengalami keadaan yang berbeza, dari apa yang kita ajarkan, di luar rumah kita?
 
isu murtad yang berlaku kebanyakannya bukan kerana ibubapa tidak memberi ajaran tentang Islam tetapi kerana ketidakmampuan untuk mempertahan kemasukan dakyah dari luar. jika persekitaran kita merbahaya, sanggupkah kita untuk melepaskan anak-anak kita bermain di luar rumah begitu sahaja? cukupkah dengan memakaikan topi keledar, kita yakin anak kita akan selamat bermain basikal di tepi lebuhraya? adakah cukup sekadar dakwah di dalam rumah kita sahaja tanpa cuba juga menyampaikan pesanan-pesanan Rasulullah saw dan ayat-ayat Allah swt pada perkeliling kita? cukupkah sekadar membeli mangga besar dan membina tembok pagar tinggi tanpa melakukan sesuatu untuk memastikan keselamatan persekitaran rumah kita dari para penjahat?
 
mari kita bandingkan fasa Islam kita sekarang dengan fasa awal Islam. difasa manakah kita sekarang? adakah kita masih difasa berdakwah dengan sembunyi-sembunyi? adakah kita masih difasa dakwah kepada ahli keluarga dan kawan-kawan terdekat sahaja? atau adakah kita difasa dakwah secara terang-terangan? iaitu fasa dimana Nabi saw dan para sahabat dihina, dicaci, dipulau, disiksa, ditindih batu, disebat dengan cemeti, waima dibunuh. atau mungkinkah fasa hijrah? fasa madinah? iaitu fasa dimana persaudaraan muslim itu bukan kerana hubungan darah tetapi kerana Allah swt, hubungan yang lebih agung. fasa dimana membina ekonomi untuk jemaah dan masyarakat giat dengan urusan ilmu dan dakwah. mungkinkah fasa daulah? dimana kita harus menjadikan Islam sebagai ad-Din dengan lebih tegas demi menyelamatkan umat manusia?
 
atau sebenarnya kita ini masih dalam fasa jahiliyah? fasa dimana manusia ketika itu tidak dapat melihat jalan keluar dari sistem jahiliyah dan tetap berkubang didalamnya kerana tidak mahu rugi atau hidup susah seperti awwalun muslimun. lalu kita juga harus menunggu sahaja dalam keadaan jahiliyah sehingga dalah diusahakan dan didatangkan oleh orang lain dan dibawa pulang ke tempat kita seperti fasa pembukaan kota Mekah? dan hanya ketika itu baru kita mahu menjadi muslim yang sebenar?
 
tidak malukah kita pada Allah swt dan pada diri kita sendiri bilamana kita mengaku Islam sedangkan kita sendiri tahu bahawa kita tidak memenuhi syarat asasnya? sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam kerugian.
 
ya Allah! wahai Tuhan yang menciptakan moyang kami, Adam as, dari segumpal tanah dan menjadikan kami, keturunan seterusnya, dari segumpal darah. Kami berlindung pada-Mu dari kejahatan kami sendiri dan kejahatan makhluk-Mu yang lain. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Tetapkanlah hati-hati kami dalam iman. Terbitkanlah rindu dalam hati kami kepada-Mu dan kepada kekasih-Mu, Rasulullah saw. Perbaikilah akhlak kami dan suntikkanlah keberanian dalam hati kami untuk berjuang di jalan-Mu. pilihlah kami sebagai salah seorang syuhada. hanya Engkau tempat kami menyembah dan tempat kami memohon. dan hanya Engkaulah yang mengkabulkan doa. amin ya Rabbal-alamin.

About this entry

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008