ikhlas tapi jauh


akhir minggu lepas aku diuji akan makna keikhlasan.. ketika aku berkongsi sesuatu, aku ditanya berkali2 tentang keuntungannya pada diri aku.. dan ketika aku mengatakan bahawa aku tidak memerlukan apa2 balasan.. ikhlas aku dipertikai oleh bahasa tubuh.. benarkah dalam dunia sekarang ini tidak ada yang namanya benar2 percuma? aku tidak berprasangka kepada orang tapi aku melihat betapa keadaan persekeliling telah membentuk pola fikir manusia.. manusia sentiasa berasa tidak selamat dalam hidupnya..

melihat ke dalam diri aku, betapa entah berapa banyak kali aku ditipu dan diperalatkan di sepanjang perjalanan aku mengharungi hidup.. ramai kata aku lemah dan bodoh kerna terlalu mudah mempercayai orang dan berbaik sangka.. namun bagi aku itu hanya persepsi mereka.. kerna aku percaya orang baik itu wujud.. hanya kerna kita tidak di kelilingi oleh orang baik, tidak bermakna ia tidak wujud..

berkali2 aku sebut bahawa hidup ini adalah pilihan kita sendiri.. tenang, serabut, ketawa, marah, dsb. adalah pilihan bukan kesempatan.. aku tak ketawa kerna ada peluang untuk ketawa tetapi kerna aku mahu ketawa dan aku cari jenakanya walaupun tak lucu buat orang lain.. aku percaya bahawa hidup ini adalah sesuatu yang perlu aku nikmati.. dan aku mahu menikmatinya dengan cara yang bahagia dan tenang..

passion aku ialah melihat orang lain mencapai kebahagian yang diimpikannya.. melihat bagaimana orang mampu mengubah hidup mereka.. itu kepuasan yang sangat besar dalam diri aku.. dan aku percaya semua orang berhak mendapatkan peluang itu.. betapa gelap dan serabut pun masa lalunya, aku percaya setiap manusia mampu melihat walau setitik sinar di hujung jalan.. dan itulah harapan..

minggu lepas aku melihat satu rakaman cctv yang menunjukkan bagaimana seorang remaja membunuh dirinya dengan terjun dari tingkat enam di sebuah pasaraya di medan.. dan aku teringat satu kisah yang diceritakan oleh seorang sahabat mengenai nota seorang wanita yang membunuh diri dengan terjun dari sebuah jembatan.. dalam nota itu dia menceritakan bagaimana dia tidak melihat harapan dalam hidupnya kerna dia merasakan tiada orang yang peduli padanya, dan dalam nota yang dia tinggalkan di rumahnya, dia menulis bahawa dia akan berjalan menuju ke sebuah jembatan untuk membunuh diri, dan jika ada satu orang yang senyum kepadanya dalam perjalanan itu, dia akan membatalkan hasratnya untuk membunuh diri..

mungkin orang lain akan menyalahkan si pembunuh diri dengan berbagai alasan, hanya bayangkan jika si pembunuh diri tersebut telah berselisih dengan aku dalam perjalanannya.. dan hanya jika aku telah senyum padanya, sudah tentu hidupnya tidak berakhir dengan sia2.. betapa ramai manusia yang kita abaikan dalam hidup kita? malah terkadang senyum itu sudah umpama dosa, apalagi bertegur sapa dan menyambung silaturrahim.. kita penuh prejudis kerna hati kita kotor..

bayangkan seorang pengemis datang ke meja kita sewaktu kita makan di restoran, apa yang kita rasakan? bayangkan seorang remaja datang menawarkan barang jualannya kepada kita sewaktu kita sedang asyik minum kopi dan bersembang dengan kawan2, bagaimana reaksi kita? adakah kita merasa mereka datang kepada kita dengan harapan atau sekadar mengambil kesempatan?

lihat remaja yang kita label liar dan pemalas.. apa yang telah kita lakukan untuk mengubah mereka? cukupkah dengan mencemuh? benarkah mereka ini liar dan pemalas? sanggupkah kita membantu mereka? tahukah kita bahawa mereka putus asa degan hidup kerna kita sendiri sudah putus asa dengan mereka.. sedarkah kita bahawa kita boleh mengubah semua itu? benarkah ikhlas itu tidak wujud lagi dalam dunia ini? atau ikhlas itu sebenarnya sudah tidak wujud dalam diri kita sendiri?

setiap kali aku berfikiran negatif tentang seseorang, itulah yang aku tanyakan pada diri aku.. benarkah dia negatif atau sebenarnya negatif itu yg ada dalam diri aku? walau aku tau org mahu memperdayakan aku, tetap aku ikhlaskan, kerna bagi aku rezki itu dari Tuhan, dan aku percaya bahawa ada sesuatu untuk aku pelajari dan juga untuk dia pelajari..

dan tentu saja aku tidak sembrono menzalimi diriku sendiri.. aku juga banyak kali menolak untuk bersedekah pada pengemis.. cuma ada waktu2nya aku anggap dengan tidak memberi aku dapat memberi semangat padanya untuk bangkit lebih keras dan memperbaiki dirinya.. begitu juga dengan peganganku bahawa aku hanya akan membantu orang yang mahu membantu dirinya sendiri.. jika mereka belum mahu, aku hanya cuit hati mereka.. tanpa prejudis.. tapi dengan doa..

aku tidak mengatakan bahawa aku telah menjumpai ikhlas dalam diri aku.. tapi itulah yang mahu aku tanamkan dalam diri aku ketika aku menulis entry ini.. ikhlaskah aku mencintai keluarga aku? ikhlaskah aku dalam mencari nafkah? ikhlaskah aku dalam sujud beribadah kepada Tuhan? atau hanya sekadar cuba ikhlas..

apakah inti dalam ayat yang mengatakan manusia dijadikan untuk menyembah-Nya, sedangkan dalam ayat lain Tuhan berfirman bahawa Dia tidak memerlukannya? mengapa Tuhan tetap mengurniakan nikmat kepada aku sedangkan bertimbun dosa telah aku lakukan?

aku mahu membebaskan diri aku dari persyaratan dunia.. melakukan sesuatu bukan kerna mahukan sesuatu untuk diri aku melainkan mengharap rahmat Tuhan.. mungkin aku terlalu idealis namun aku merasa lebih bahagia begini.. aku tidak perlu rasa sakit hati dan merasa hidup aku umpama disebuah pulau yang dikelilingi oleh jerung hingga aku takut waima sekadar mencecahkan kakiku ke gigi air.. itu bukan hidup yang aku mahukan..

bagi aku setiap manusia itu baik.. sekurang2nya sentiasa ada sisi baik.. hanya saja aku yang gagal menemukannya kerna aku berprasangka buruk.. benarlah pesan Nabi saw akan betapa pentingnya menjaga silaturrahim dan betapa tercabutnya rahmat buat sesiapa yang memutuskan silaturrahim..

setiap hari aku melatih diri aku untuk mensyukuri apa yang aku ada.. melatih diri aku untuk memberi dalam setiap peluang yang diwujudkan oleh Tuhan setiap hari.. memberi dan terus memberi dengan hanya berharap mendapat kasih Tuhan.. betapa apapun status dunia yang tersangkut pada tubuh aku, menginsafi bahawa aku hanya hamba di sisi-Nya.. memahami bahawa jika orang bersangka buruk pada aku hanyalah kerana mereka tidak mengenali aku, dan mungkin saja kerana kegagalan aku untuk membuka diri aku kepada mereka..

bagaimana kita melihat bentuk kehidupan ini adalah cermin pada apa yang ada dalam hati kita.. maka itu pernah seorang sahabat mengatakan kepada aku, "jika ente tidak menemukan syurga di dunia, bagaimana ente boleh yakin mendapat syurga di akhirat?"


About this entry

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008