segenggam gandum sebuku roti



syahdan, sesiapa saja yang pernah ke negeri timur tengah atau rusia timur, paling tidak tentu pernah mencicipi roti tradisional mereka.. sedikit keras dan liat berbanding roti yg biasa dinikmati di tanah air.. lembut dan halus, malah roti nan mamak yg tebal itu juga terasa halus berbanding roti non uzbek atau taaftun iran..

roti mereka kasar kerna mereka menggunakan gandum yg agak kasar berbanding roti di tanah melayu yg menggunakan gandum halus.. kerna itu sebagaimana lembut pun tetap sisanya akan berderai.. namun kerna itu, roti itu boleh tahan lebih lama berbanding jika roti yg diperbuat dgn gandum halus akan cepat mengeras dan tidak lagi sempurna rasanya, semuanya kerna pengaruh cuaca di negara mereka..

begitulah juga dengan melayu.. org melayu itu lembut kerana 'bahan asal'nya lembut.. maka sesuailah kelembutan itu dengan iklim ibu pertiwinya.. begitu juga pabila dia berdagang ke tanah luar maka menghadam diri akan dia dgn budaya yg ada, membaur hingga menjadi sepertinya org luar, namun takkan padam jatidirinya, tidak musnah 'kelembutan' dalam jiwanya..

adapun sikap lembut org melayu ini sering juga disalah ertikan oleh org lain, malah oleh org melayu sendiri.. kelembutan melayu dianggap sebagai tidak percaya diri, lambat bertindak, malas dan seribu satu macam lagi persona kata.. benarkah?

dan roti bukanlah aslinya makanan asasi melayu..


Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka


usman awang
Mingguan Malaysia, 1996


About this entry

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008