lampiran 7.
kesetiaan dalam hubungan cinta menjadikan jalinan kasih yang menyenangkan dan membawa kedamaian. begitulah diperkatakan dalam cinta harus setia atau setidaknya mencuba untuk setia. kesetiaan adalah bukti yang paling kuat dan paling nyata dalam pernyataan kesungguhan dan ketulusan hati.
tiada keterpaksaan dalam cinta, begitu juga wujudnya setia dalam diri seorang pencinta. adapun kesetiaan itu akan terus mengalir tanpa keperluan diwujudkan, kerna ia sudah wujud secara semulajadi. setia adalah sebahagian dari diri seorang pencinta.
akan tetapi tiadalah bersamaan akan tingkat kesetiaan pada setiap orang, sepertimana tiadalah bersamaan akan tingkat kecintaan seorang pencinta pada kecintaannya. dan sepertimana orang mendefinasikan cintanya sendiri, begitu juga orang mahu menetapkan akan maksud kesetiaan mengikut kemahuan dirinya.
adapun tiada mahu diperkatakan akan makna setia itu tetapi berbahagi tentang tingkatan kesetiaan yang ada dalam setiap perjalanan cinta.
tingkat pertama, adalah dengan berbuat kebaikan terhadap seseorang yang berbuat baik kepada kita. bukan hanya pencinta tapi semua manusia sudah semestinya membalas setiap kebaikan dengan kebaikan. kepada pencinta, berbuat kebaikan bukanlah untuk membalas setiap budi yang ditabur tapi kerna memang begitulah hatinya diperbuat oleh perasaan cintanya.
tingkat kedua, memberi keampunan kepada orang yang berbuat keburukan kepadanya. tidak membalas pengkhianatan dengan pengkhianatan yang lain, tidak mengipas marah dengan bara, dan tidak menyiram duka di atas sedih. kerna jika dusta dibalas dusta, maka tiadalah beza antara kedua pendusta tersebut. walaupun memang jahat itu nyata, pencinta akan mencari jalan lain seperti mengingati kebaikan orang tersebut, agar dirinya terpelihara dengan keburukan hati, terpelihara jualah cintanya.
tingkat ketiga, tetap dengan kesetiaannya dalam keadaan sedih dan putus asa yang mendalam dan dalam jangkamasa yang lama. kerana apalah makna kedukaan dibanding kesenangan dan nikmat yang telah dikecapinya. tiadalah dia mampu benci dengan hati yang penuh kasih sayang.
perlulah difahami bahawa seorang pencinta itu harus lebih setia dari yang dicintai. kerna dialah yang memulakan jalinan perhubungan, dialah juga yang memulai ikatan janji. tiadalah boleh dipertanggungjawabkan kesetiaan keatas yang dicintai, melainkan dia juga telah menjadi seorang pencinta.
tiadalah boleh dicela jika yang dicintai merungkaikan kesetiaan. seorang pencinta lebih setia dari yang dicintai kerna sudah tentu cintanya yang lebih besar dan abadi. sedangkan yang dicintai hanya menerima cinta dan menghargainya. sudah cukup penghargaan itu buat seorang pencinta, dan tiadalah pencinta berhak meminta yang dicintainya melakukan hal yang sama sepertinya.
seorang pencinta tidak akan mengizinkan dirinya melukai perasaan orang lain, walau yang berbeza pendapat, apalagi berdendam dengan kecintaannya. seorang pencinta seharusnya sudah memahami akan perkara ini, kerna sekali sudah berumah di tepi pantai pasti akan dilanda badai, kerna jika cintanya panjang sejengkal tiadalah akan dia sanggup mengharungi gelora di lautan dalam.
jakarta
Post a Comment