'interlok' karya SN Abdullah Hussain, buku terpanas awal tahun ini, panas sangat sampai kena tarik balik dari jadi buku teks kajian sastera spm. buku nih bukan sekadar novel biasa melainkan berisikan fakta pensejarahan awal integrasi masyarakat malaysia. tidak keterlaluan jika buku ini adalah salah satu buku yg patut membolehkan beliau memenangi hadiah pulitzer. jadi, apa yg masalahnya?
inti dari kenyataan2 org2 kuat MIC mengatakan bahawa masyarakat india di negara ini tidak suka gambaran sejarah mereka, yg terkait dengan amalan kasta, yg menurut mereka sudah bersalahan dengan cara fikir masyarakat india pada masa sekarang, dikisahkan secara meluas dan terbuka. ini kerana dalam buku ini diceritakan bahawa orang2 india yg dibawa masuk ke malaya di zaman penjajahan inggeris adalah dari kasta bawahan. jadi, salahkah kalau kita mengaku kalau kita dari kasta rendah?
sama dgn kisah sejarah org melayu tentang raja2 melayu yg gila kuasa, gila perempuan, dan terburu nafsu menjatuhkan hukuman tanpa berlaku adil. campur lagi dgn dongengan dan satira yg menunjukkan sifat org melayu yg malas, sentiasa mengharap, taat membabi-buta dan bodoh. maka kita pun patutnya haramkan buku2 nih dari pasaran. sebab alasan kita nanti org akan salah faham kerna sifat2 melayu sekarang dah tak sama? atau mungkin sebab kita masih sama dan mereka sudah berubah?
aku berusaha utk tidak mengulas bahagian politik dari polemik interlok nih. soalannya apa yg boleh kita pelajari dari peristiwa ini? haruskah kita memadamkan semua kesilapan masa lampau kita supaya anak2 kita jadi lebih baik? apa fungsi sejarah sebenarnya?
aku dilahirkan sebagai warga tanah melayu generasi ketiga dalam kedua2 belah keluarga bapa dan ibuku. arwah datuk dan nenek sebelah bapa aku mmg datang dari kepulauan jawa di zaman transmigrasi. dari jawa tengah mereka berhijrah ke sumatera sebelum berhijrah ke malaya. kampung bapa aku mmg hampir semuanya org jawa, berbahasa jawa dan mengamal budaya jawa. arwah nenek sebelah ibu aku datang bersama2 dgn arwah moyang aku dari daerah pekan baru di sumatera. waktu itu perang kata arwah moyang aku. dan kampung ibu aku mmg hampir semuanya org sumatera, atau biasanya digelar 'orang seberang', berbahasa 'seberang' dan mengasimilasi pegangan dan kepercayaan 'seberang' dalam kehidupan. ada perbezaan antara cara hidup jawa dan cara hidup sumatera dan aku membesar dalam dua lingkungan nih.
di awal millineum baru, aku pula berhijrah ke jakarta. kota besar yg penuh sesak dgn manusia. aku memahami akan kepelbagaian ragam budaya yg lebih rencam. dan yg lebih aku teruja ialah lebih memahami mengenai cara hidup dan cara berfikir di kedua2 belah keluarga besarku. dengan lebih jelas aku memahami apa sebenarnya nilai2 yg selama ini disampaikan oleh mereka kepadaku. aku dapat membayangkan keadaan mereka sebelum mereka berhijrah dan evolusi yg berlaku dalam paradigma mereka sehinggalah ke generasi anak dan cucu mereka yg lahir di tanah melayu.
aku menyusuri perjalanan masa itu hinggalah ke kampung asal mereka, dengan niat mahu melihat dan mempelajari apa yg pernah mereka rasakan dalam usaha memahami diri aku sendiri. subhanallah. kalau org lain berbangga dgn jalur salasilah mereka yg bersangkut kait dgn keturunan bangsawan, tidakkah aku juga perlu berbangga dgn jalur keturunan aku yg sememangnya dhaif dan kolot, namun mempunyai kekentalan jiwa utk berhijrah demi masa depan anak2 mereka yg lebih baik. membandingkan akan wujud dan keberadaan aku dgn situasi kampung halaman yg ditinggalkan oleh nenek moyangku, aku seolah2 dapat merasakan pahit kelat dan masam masin perjalanan mereka untuk meraih sesuatu yg mereka sebut 'harapan'.
patutkah aku malu dgn sejarah lalu nenek moyangku? arwah datuk dan nenek hijrah ke suatu tempat yg tidak pernah mereka tahu. berbekal kecekalan menjadi petani dan buruh estet. ketegasan arwah moyang menghantar semua anak isteri dan keluarganya di dalam satu perahu kecil mengharung selat melaka ke satu tujuan yg tidak pasti supaya terhindar dari kemelut perang. malukah aku dgn keturunanku yg sampai di tanah melayu sehelai sepinggang tanpa apa2, merempat, dihina dan berpindah-randah mengharap bantuan. musafir yg berusaha mengekalkan survival keluarganya.
ini sejarah yg perlu kita insafi, bukan yg perlu kita hindari. ini kisah yg aku ceritakan kepada anak2ku, dan yg akan diceritakan pula oleh anak2ku kepada anak2 mereka. ini asal usul kami. ini yg ada dalam diri kami yg tidak boleh kami padamkan. ini yg mendarah dan mendaging, menjalar dalam tulang dan urat nadi kami. mmg dulu nenek moyang kami org kolot dan tidak berpendidikan, hanya buruh kasar, hanya pelarian perang saudara yg sedang ketakutan. ini kenyataan dan fakta yg tidak boleh kami ingkari.
dan kita sebagai generasi muda dalam keturunan harus menjadi lebih baik, lebih kuat dan lebih bijak dari mereka. kita menjadi diri kita sekarang kerna apa yg mereka perbuat di masa lalu. kita jadi hebat kerna mereka telah lama memperjuangkan 'harapan'. dan kitalah 'harapan' yg mereka perjuangkan itu. dan kita malu mengakui siapa mereka?
benar, mereka pernah silap dan bertindak bodoh. dan kerna kesilapan dan kebodohan mereka, kita jadi siapa diri kita sekarang. kita belajar dari apa yg telah mereka lalui, kita sisip dan barakan semangat mereka di dada kita. ini yg perlu kita lakukan bukan cuba memadamkan sisi2 sejarah yg kononnya aib di mata kita.
ini tanah bertuah. tanah kosong yg kita isi dan bangunkan dengan hasrat dan visi nenek moyang kita. siapa pun asal usul anda, baik penghijrah ekonomi yg menyeberang selat, pelarian perang saudara yg menyelamatkan diri, ahli parti komunis yg tidak boleh pulang, atau kasta rendah yg mencari hidup lebih baik, kita tidak perlu malu pada masa lalu. kerna itu yg mencorakkan siapa kita sekarang. yg penting adalah menjadi lebih baik dan lebih hebat, kerna kitalah 'harapan' yg mereka sandarkan pada zaman itu. kita adalah 'impian' yg mereka lukiskan di saat2 mereka dihina dan ditindas.
atau adakah mungkin kita akan merasa lebih tenang menjadi si tenggang dan malim kundang yg berusaha keras tidak mengakui ibunya yg miskin papa kedana?
wallahualam.
Post a Comment