...kita saling menjajah


menelusuri denai dalam ruang waktu, betapa kita lihat seringkali mencari-cari sesuatu yang boleh kita persalahkan, sedang persoalan sebenarnya ialah bagaimana kita menempuh jalan seterusnya yang terhampar dihadapan kita.

di zaman awal sistem kerajaan, tuan tanah berusaha melindungi dan mempertahankan tanahnya. maka dengan itu dia perlukan bantuan daripada orang-orang yang ada bersama-samanya. orang-orang yang sama-sama membantu dia meneroka tanah baru itu, mengerjakannya untuk kepentingan bersama dan orang-orang yang setia mengabdi padanya.

sebagai seorang tuan punya, dia bertanggungjawab menguruskan tanahnya dengan saksama, memastikan kemakmuran bersama agar lebih mudah mentadbir dan menjaga juga kepentingan orang-orang yang setia padanya.

sejak turun temurun dia memperturunkan skil pentadbiran kepada anaknya dan anaknya meneruskan memimpin kerajaannya. raja-raja tidak perlu korupsi kerna dia yang memiliki semuanya. malah dia yang harus lebih perihatin memperlakukan keluarga-keluarga yang telah setia bersama bapanya untuk sama-sama memakmurkan tanahnya bersama-samanya. dia sedar bahawa dia tidak akan mampu mengerjakan semua tanahnya sendirian. dan 'rakyat'nya juga mempunyai pilihan untuk pergi meninggalkannya dan mengabdi pada tuan tanah lain.

kerna ini juga ditekankan konsep nasionalisme, supaya pengabdian ini berterusan malah bangga menjadi sebahagian daripada kerajaannya. sikap nasionalisme ini yang ditanam agar keluarga-keluarga ini tidak akan meninggalkannya. maka budaya terbentuk supaya berlakunya keunikan. dengan merasa golongan mereka unik dan istimewa dibandingkan dengan kerajaan lain, kesetiaan akan tertanam. bangga pada keturunan dan tanah yang mereka duduki sejak zaman berzaman.

undang-undang setempat pula terbentuk untuk menjaga kesejahteraan bersama dan mengelak persengketaan berpanjangan. pusat pentadbiran berada berdekatan dengan semua orang. tindak kejahatan amat mudah dikesan.

perhubungan antara dua buah kerajaan juga berdasarkan atas saling memerlukan dan saling menghormati. hubungan sering dipereratkan dengan cara perkahwinan. malah seterusnya berlaku pula penggabungan dua kerajaan.

kerajaan yang besar memerlukan satu sistem pentadbiran yang lebih kompleks. bermulalah munculnya golongan politik. golongan ini dipilih dari kalangan orang yang sangat dipercayai dan setia tanpa berbelah bagi. zaman berlalu dan golongan ini pula mahu memisahkan mereka dari kalangan yang lain. berusaha menjadikan mereka leih unik dan lebih istimewa. sedang awalnya mereka adalah pengabdi yang paling dipercaya dan paling setia.

dengan wujudnya golongan pentadbir ini, maka raja menjadi lebih jauh dari rakyat. golongan ini memanjakan raja, dan raja memanjakan diri mereka sendiri. masalah yang mula muncul dikalangan rakyat ditutup oleh golongan pentadbir, dan rakyat juga dihalang menemui raka mereka, hingga raja hampir tidak tahu apa yang berlaku dibahagian hujung negara mereka, sehingga masalah muncul dikawasan pentadbirannya. yang mana biasanya keadaan sudah terlalu lambat. kerosakan sudah jauh dari pencegahan dan pengubatan memerlukan harga yang sangat besar.

pentadbiran sesebuah negara sekarang lebih mengarah persis seperti menguruskan sebuah syarikat perniagaan yang besar. negara ditadbir oleh CEO, COO, CTO dan segala jenis C dan O. presiden dan perdana menteri lebih merupakan seorang peniaga yang harus memikirkan bagaimana untuk memajukan syarikatnya agar lebih banyak keuntungan. dan sepertimana peniaga yang lain mereka juga harus memikirkan keuntungan untuk mereka sendiri. bukanlah sesuatu yang kita hairankan daripada seorang peniaga.

berbanding dengan tuan punya syarikat, mereka bukan setakat mencari keuntungan tetapi juga mempunyai rasa kepemilikan terhadap syarikat mereka. pada mereka syarikat adalah maruah keluarga yang perlu dipertahankan. rakyat adalah aset mereka yang perlu mereka jaga dan makmurkan untuk kesinambungan empayar mereka.

pengurus syarikat tahu dia hanya bekerja. mereka harus memikirkan juga kesinambungan hidup mereka jika mereka diberhentikan. maka mereka juga membuat rencana untuk kebaikan keluarga mereka. rakyat adalah pekerja bawahan mereka, dan mereka harus menjaga kebajikan pekerja bawahan sebagai satu cara menjaga kesetiaan rakyat terhadap mereka.

bila sesuatu kesilapan berlaku maka pengurus akan dipecat, tetapi jika raja yang melakukan kesilapan dia harus menanggung sepanjang hayatnya, malah juga harus ditanggung oleh keturunannya.

dalam beberapa era kebelakangan ini kita melihat perpecahan negara-negara besar. semakin banyak daerah yang mahu mentadbir sendiri. malah ada pula yang malah tidak mahu bertoleransi dengan hanya kuasa autonomi.

adakah pemecahan semula pentadbiran kepada negeri2 kecil ini efisien dalam waktu sekarang? masalahnya negara-negara kecil yang berjaya memisahkan negara mereka melakukan dengan cara menghancurkan negara mereka sendiri. maka pembangunan hanya boleh dilakukan lama setelah berjaya memakmurkan negara mereka sendiri, dan banyak pula mengambil jalan singkat meminta bantuan negara-negara yang lebih besar. dan tiada bantuan yang percuma antara dua buah syarikat perniagaan yang saling bersaing.

negara yang sebesar USA sendiri mempunyai pemerintahan sendiri bagi setiap negeri didalamnya, punya undang2 yang berbeza malah lebih mempunyai kuasa dalam negosiasi terhadap kepentingan negerinya. pentadbiran pusat lebih mengarah kepada persoalan internasional dan isu-isu yang lebih umum.

secara lebih besar lagi, globalisasi bukan satu kaedah agar semua orang mempunyai persamaan. persoalan yang lebih besar adalah bagaimana menghargai perbezaan. perbezaan yang disebabkan oleh keadaan geografi, sejarah, budaya dan pemikiran.

selama ini dalam diri kita sendiri mahu orang lain bersetuju dan memahami aspirasi kita dengan cara kita. kita mahu orang lain jadi sama seperti kita. kita didik anak-anak kita untuk jadi seperti kita, berfikir, berpakaian, malah bercakap dan berjalan seperti kita. bila anak kita mempunyai pendapat berlainan atau berkelakuan diluar cara kita, kita akan marah dan menganggap mereka tidak berada dijalan yang sepatutnya. tanpa sedar kita sendiri cuba menjajah pemikiran anak-anak kita dengan menghalangi kreativitinya.

banyak kita mahu merdeka dan tidak mahu dijajah. tapi banyak pula dari kita mahu menjajah orang lain. kita tidak akan bebas selagi kita tidak melepaskan keinginan kita untuk menjajah orang lain. maka bertanyalah lagi pada diri kita.. adakah kita dijajah? atau kita cuba menjajah? adakah kita dijajah kerna kita mahu menjajah? atau kita kata kita dijajah supaya kita boleh menjajah? atau adakah keinginan menjajah itu normal? maka penjajahan itu bukanlah suatu isu?

About this entry

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008