Risalah Cinta: Bersatu dalam cinta


lampiran 10.

cinta itu sebahagian dari nafsu, yang dikurniakan oleh Tuhan, yang bukan untuk dibinasakan sebaliknya untuk dikendalikan. melupakan cinta seumpama menghapuskan rasa dari pancaindera. menghilangkan sayang bak menyuramkan hati dari cahaya bahagia. seolah tiada wujud raga hidup tanpa jiwa cinta.

jika cinta hilang dari jiwa, diri akan kehilangan dorongan dan kekuatan. sebagaimana kita harus mengawal dan menundukkan nafsu, begitu juga kita bertanggungjawab ke atas rasa cinta kita. perlulah kita pupuk dan semai, sirami dan bajai dengan nilai2 yang indah, agar tumbuhnya kelak membunga wangian yang mengharumi hidup kita dan orang2 disekeliling kita.

tiadalah nilai cinta tanpa menjaga kemuliaan diri. akan terpadam cinta jika diri penuh dengan kecelaan. pudarlah warna dikelopak mawar yang berkembang hingga tiada kumbang sudi bertandang. ibarat mulia cinta sejati yang tiada mengharum wangian firdaus bila hati telah tercalit oleh kotoran membusuk.

hanya cinta yang terpelihara menjadikan dua pencinta bersatu dalam percintaan mereka. memahami batasan dengan membuat pilihan untuk menghalalkan perhubungan raga, melengkapkan pesona jiwa.

bersatunya dua cinta hanya berlaku jika setiap yang berhubungan adalah pencinta yang menghargai akan makna kasih sayang. dan bersatunya dua cinta akan menyemai benih cinta baru yang suci. memperpanjang keturunan seperti terus menerus menghidupkan perakuan cinta yang termeterai.

beruntunglah bila dua pencinta saling bertemu menjalinkan percintaan. umpama sirih pulang ke ganggang. sebagaimana hamba kembali pada Tuhan-Nya dan bersatu dalam qudrat-Nya. begitu pula Adam menemui semula Hawanya. ini perjalanan cinta, mencari yg hilang, menyambung kembali yang putus.

penyatuan dua pencinta dalam bentuk perhubungan raga merupakan satu perumpamaan akan lazatnya keadaan bila kita kembali kepada Maha Pencipta. perhatikan dan selamilah hubungan badan tersebut kerna tersirat seribu macam rahsia di dalamnya.. umpama air yang bercampur dan jiwa yang bersatu.. telusuri perhubungan intim dan pahami akan apa yang kita cari dari kelazatan itu.

persetubuhan bukan sekadar interpretasi cinta. memberi kebahagiaan dengan memuaskan pasangannya. memuaskan pasangannya dengan cara yang disukai oleh pasangannya. bilamana dia hanya mahu memuaskan dirinya bermakna dia mahu dicintai. lalu apakah sebenarnya yang dicari selain dari kenikmatan sementara, sedangkan perjalanan hidup ini seumpama mencari jalan pulang. setiap yang Tuhan jadikan itu tiadalah sia-sia buat yang mahu merenunginya.

bilamana ini menjadi titik permasalahan hampir setiap perhubungan, fahamilah betapa begitulah sukarnya untuk kita menggapai nikmat yang paling lazat dan menggeleparkan jiwa, dalam arah kita pulang kepangkuan-Nya dan bersatu semula dengan-Nya. dari-Nya kita datang, kepada-Nya jualah kita kembali.

jakarta

About this entry

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008