memahami sebuah persoalan..


bilamana takdir, qada dan qadar bermakna Tuhan Maha Mengetahui yang sudah, sedang dan akan terjadi, maka apalah maknanya kita diberi akal untuk berfikir.. mengapa pula kita diberi pilihan untuk memilih pengakhiran yang baik atau yang buruk..

adapun terdapat pengkisahan akan perjanjian kita di negeri baqa sebelum dizahirkan ke dunia yang fana ini.. maka menangislah bayi ketika dilahirkan mengenangkan akan janji-janjinya yang terpahat di luh mahfuz.. syahadan membesarlah dia hingga terlupakan janji-janjinya dahulu pada Maha Pencipta..begitulah halusnya orang-orang tua berkisah.. namun tiadalah pula dikisahkan mengapa kita mahu turun ke dunia meninggalkan kesenangan di alam baqa.. rahsia katanya..

juga akan mengapa kita dijadikan berbangsa-bangsa, berbeza-beza rupa wajah dan bahasa pertuturan.. dijadikan pula sebahagian daripada manusia itu sesat dan berburuk laku sedang yang lain pula baik dan berhati mulia.. maka kita pula dalam golongan yang mana?

dalam zaman tertentu diturunkan pula para nabi untuk mengingatkan manusia.. mengapakah pula perlu dingatkan bilamana kesedaran hati itu bergantung pada rahmat Tuhan Rabbul 'Alamin? seseorang itu berubah bukan kerna dirinya tapi kerna sentuhan kasih Tuhan semata-mata..

hinakah kita berbanding mereka yang disucikan-Nya, sedangkan mereka itu juga hanya menjalani takdir mereka sendiri.. maka bagaimanakah sesat kita sedangkan kita dapat pula melihat jalan lurus mereka-mereka yang dianggap mulia itu.. apakah makna takwa yang dapat membezakan manusia di hadapan Tuhan?

mengapa kita dizahirkan ke dunia? apakah fungsi kita sebagai manusia? benarkah hidup kita ini adalah untuk membuat pilihan? atau sebenarnya untuk memahami sesuatu? apakah yang perlu kita pilih dan apa pula yang harus kita fahami?

beribu persoalan menusuk akal, meredam hati, menyelinap ke dalam jiwa.. wajarkah difikirkan? atau mungkin lebih afdhal menelusuri hidup ini apa adanya.. pasrah berserah tawakkal dalam redha Tuhan.. namun apakah hidup?

dikatakan kemiskinan itu satu dugaan dan kekayaan itu satu cubaan.. maka mencari-carilah kita di antara kemiskinan dan kekayaan.. diantara kesempitan hidup dan kemewahan dunia.. kedua-duanya mampu menjadikan kita kufur pada Tuhan.. jadi yang manakah yang harus kita pilih? salahkah memilih satu antara keduanya? maka terpulanglah pula pada badan yang menanggung..

ada orang tidak perlu keras berusaha namun senang datang melayang.. ada orang kental membanting tulang berusaha namun tetap jua yang molek tak datang bergolek.. ada pula bersungguh mencari kebenaran namun tersungkur jua di pintu syurga.. manakala sang penjahat seumur hidup dosa terhapus dek taubat sebelum mati.. maka apalah adanya pada usaha itu? bukankah takdir jua yang jadi penentunya?

ini fikiran yang keras terhadap hati.. fikiran yang jauh melampaui kekuatan akal.. sekuat manakah iman.. sejauh manakah keteguhan yakin.. maka kita bertuhan pada Tuhan yang satu.. Tuhan yang mana jiwa kita berada dalam genggamannya.. bersyukur atas rahmat mendapat hidup.. bersabar atas asbab setiap sebab..

dikisahkan kita yang meminta turun namun tiada diterangkan kenapa.. maka kerna itu kita yang berjanji atas segala takdir yang berlaku.. maka itulah yang telah kita pilih.. maka hiduplah kita di denai qada dan qadar yang telah ditentukan.. maka bertujuan apakah hidup di dunia ini?

memilih itu bukan masalah.. kerna yang mahu dipilih itu sudah ditentukan di paksi takdir.. maka sebab itu kita diberi kelebihan hanya doa boleh mengubah takdir.. sesuai dengan apa yang kita fahami, maka berdoalah kita dengan izin-Nya supaya takdir yang kita jangkakan dapat diubah.. walhal akan pilihan berdoa itu juga telah ditetapkan sejak azali.. maka apakah sebenarnya perjalanan kita ini? tiada mampu kita melakukan apa-apa di luar kuasa takdir yang ditentukan untuk kita..

mungkinkah hidup ini untuk kita memahami apa yang telah kita pilih? memahami mengapa qada dan qadar sebegitu yang tertulis buat kita.. memahami mengapa hidup kita dijalani atas takdir yang telah ditetapkan.. memahami sebelum kita pulang ke pangkuan-Nya kembali..

memahami melalui pancaindera zahir dan batin.. melihat dengan mata dan hati.. mendengar dengan telinga dan hati.. berkata dengan mata dan hati.. maka berfikir-fikirlah akal untuk memahamkan hati.. memujuk-mujuk jiwa menenangkan hati.. bagaimanakah?

benarkah ada perbezaan antara melakukan sesuatu tanpa faham dan melakukan dengan faham.. salah atau benar bukanlah perkara yang aneh, bukanlah diluar fitrah manusia.. tetapi memahami akan setiap yang kita lakukan itu bukan sekadar fitrah.. benarkah?

maka tidak pentingkah akan benar atau salah itu? antara hina atau mulia di dunia? adakah hanya sekadar membezakan manusia sepertimana diciptakan berbangsa-bangsa, berbagai puak dan kaum? maka pula apa maksud perbezaan itu sedangkan kita semua hanya seorang hamba yang wujudnya di dunia ini tiada membawa makna apa-apa? mungkin jugakah kita diber persamaan supaya dapat kita memahami diri kita sendiri?

bermain-main emosi.. menduga-duga akal.. menyentuh-nyentuh hati.. mengandai-andai apa yang perlu dilakukan.. ilmu itu asas faham.. tanpa ilmu tiadalah datang faham.. maka kerna itukah kita dituntut mencari ilmu.. hingga wajiblah hukumnya atas setiap manusia, kecil dan besar, tua dan muda..kerna hanya ilmu menzahir faham.. akan faham itulah yang dicari-cari dalam hidup di dunia sebelum kembali ke asal kejadian.. begitukah?

berkisah lagi akan bilamana faham akan wujud manusia maka tiadalah tubuh ini bermakna lagi.. timbul mengerti maka binasalah diri.. tiadalah bermakna apa-apa lagi.. umpama embun yang sirna dijamah panas mentari.. tiada bererti lagi wujud dirinya melainkan Zat yang menjadikannya..dunia jadi umpama bangkai yang terlalu hina waima untuk menyebutnya.. akan faham membuka pintu ke sebuah cahaya yang terang menyilau mata hati.. yang lain tidak bermakna lagi.. bilakah?

About this entry

 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008