"Ramai orang Melayu tidak mahu membicarakan kelemahan kerana mereka takutkan kelemahan. Padahal kelemahan merupakan suatu yang nyata bukan sahaja kepada orang Melayu malah kepada seluruh manusia. Kita harus mencari kelemahan nyata, bukan kelemahan yang disengajakan.
Maksud yang kedua, orang sengaja mahu kita menjadi lemah, orang dengki dengan kejayaan kita. Sementara kita tidak bertoleransi kepada hal yang kedua ini, kita juga tidak boleh mengetepikan hal yang pertama. Apabila kita menerima kritikan bahawa kita lemah, jangan lekas-lekas melenting dan mengatakan orang tertentu dengki kepada kita. Kita harus membaca niat baiknya, malah kita harus berterima kasih kepada orang yang sanggup menegur. Sementara itu kita harus melakukan muhasabah diri: Mencari apa yang tidak kena dengan diri kita.
Pada saya kelemahan penting untuk dikaji bukan kerana kita menangisi kelemahan tetapi untuk mencari jalan keluar daripada kelemahan dan membina kekuatan berasaskan kelemahan. Kita harus mengenyahkan kelemahan. Dalam pada itu kelemahan kita jadikan asas kekuatan."
-Jaafar Rahman-
"Asas Minda Melayu"
Post a Comment