bilakah hari terburuk kita? waktu kita miskin? tiada sepeser wang dikala perut sangat lapar melihat orang lain membuang separuh dari kuih yang dinilai kurang sedap? waktu kita sendirian? tiada tempat berkongsi rasa dan semua sahabat menghindar tidak mahu terjebak mendengar kesedihan kita yang mereka anggap klise? atau waktu kita dilanda musibah? sakit datang bertimpa, bala datang menghujam derita, masalah demi masalah menumpuk di atas kepala dan tiada siapa mahu atau mampu membantu?
telah difahamkan kepada aku bahawa hari yang terburuk adalah hari dimana kita merasakan Tuhan itu sudah tidak ada. hari dimana kita berputus harap pada rahmat-Nya. hari dimana kita tidak merasa takut untuk berbuat dosa. hari dimana kita tidak peduli pada syurga atau neraka. hari dimana kita merasakan Tuhan telah melupakan kita. dan hari dimana kita sudah melupakan Tuhan.
ironinya, hari sebegitu sering datang dalam hidup kita tanpa kita menyedarinya. ia datang dalam sesaat atau mungkin beberapa minit dan kita tidak memperdulikannya. ia datang ketika kita merasa dunia tidak menyebelahi kita. ia datang ketika kita merasa kita tidak diperlakukan adil. ia datang ketika kita merasa kita tidak berhak menerima kesusahan dan kesakitan. ia juga datang ketika kita merasa tidak ada sesiapa pun boleh menentang kemahuan kita. ia datang ketika kita sibuk memuaskan nafsu kita. ia datang ketika kita merasa kita yang terpintar, terkaya, terbaik, terkuat, terindah dan terhebat. saat itulah hari terburuk kita.
saat itu mungkin kita sedang bersedih tapi kita sombong. mungkin kita gelisah tapi kita lagha. mungkin kita sabar tapi kita ujub. mungkin kita bersedekah tapi kita riya. mungkin kita menyampakan ilmu tapi kita takabbur. kerna semua itu kita lakukan bukan kerana Tuhan, kerana saat itu, walaupun kita menyebut-nyebut nama Tuhan tapi sebenarnya kita sedang lupa bahawa Tuhan itu ada.
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [Al-Quran 29:2]
"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan." [Al-Quran 21:35]