jangan merempat di tanah sendiri




merdeka! merdeka! merdeka!

masa kita merdeka dulu kita guna dasar kebangsaan.. sebab hanya dasar kebangsaan yang dianggap boleh mendekatkan jurang persamaan.. awalnya bangsa melayu.. kemudian bangsa malaysia.. dalam dua-dua konteks kita anggap bangsa cina dan india adalah pendatang, yang mana memang benar ketika itu bangsa cina dan bangsa india berimigrasi ke tanah melayu atas dasar ekonomi dan kemudiannya mahu menetap atas dasar politik.

dalam pemikiran orang melayu, konsep pendatang ini sama dengan konsep mualaf. walaupun ada kaum cina atau india yang sudah bergenerasi hidup dalam Islam, tetap pada pandangan orang meayu mereka ini mualaf. maka selagi konsep mualaf ini tidak berubah, begitu jugalah konsep pendatang ini tidak akan dapat diubah. apalagi jika pendatang dan mualaf ini masih melestarikan budaya mereka dalam kehidupan seharian. walaupun selepas 60 tahun merdeka, kebanyakan kaum yang kita anggap pendatang itu hampir semuanya lahir di Malaysia dan ramai yang tidak pernah tahu dimana kampung asal datuk nenek mereka.

bila berhubung dengan isu perkauman, maka orang melayu akan saling mengingatkan supaya tidak merempat di tanah sendiri. ungkapan ini asalnya merujuk pada natijah penjajahan british. dan wajib pula saling mengingatkan mengenai tragedi berdarah 1969. apa sebenarnya yang difahami oleh orang melayu mengenai tragedi itu dan kaitannya dengan ungkapan tersebut?

tragedi 16 Mei itu memberi keyakinan pada orang melayu bahawa kaum cina bukan sekadar mahu menetap untuk kesinambungan hidup tetapi juga untuk merampas tanah milik melayu. dan orang melayu berpendapat bahawa jika kaum cina mendapat kuasa, maka melayu akan kembali ditindas dan dijajah seperti sebelumnya. malah ada yang berpendapat bahawa kaum cina akan membunuh dan menghalau melayu dari negara ini. 

walau apapun versi kebenaran yang dikisahkan mengenai tragedi tersebut, apa yang orang melayu faham ialah ketika kaum cina mula menghidu kuasa, mereka mula memaki-maki orang melayu dan menunjukkan belang mereka hingga ke tahap membunuh orang melayu tanpa ada belas kasihan. ini adalah gambaran 16 Mei 1969 yang ada dalam setiap orang melayu dan akan dikisahkan turun-temurun ke setiap generasi. dan orang melayu berpendapat tindakan mereka membunuh kaum cina ketika itu adalah kerana mempertahan diri mereka dan keluarga mereka. pada orang melayu, kaum cina bersalah sepenuhnya atas kejadian tersebut. ia menjadi dendam dalam orang melayu. 

ini adalah asas kenapa orang melayu tidak mempercayai kaum cina. mereka merasa ditikam dari belakang oleh kaum cina. toleransi melayu memberi taraf warganegara kepada kaum pendatang dikhianati dengan membunuh orang melayu dan cubaan merampas tanah melayu. pada orang melayu kejadian Mei berdarah itu sama persis seperti cita-cita dan metodologi komunis.

golongan bijak pandai melayu ketika itu memfokuskan kepada solusi ekonomi. dengan pendapat bahawa jika melayu dapat duduk sama tinggi setaraf dengan kaum cina di meja ekonomi maka orang melayu tidak akan diperkecilkan lagi. maka dibuatlah pelbagai perancangan untuk memajukan ekonomi orang melayu. diperkasakan bantuan kepada orang melayu dalam bidang ekonomi dan pendidikan dengan berbagai bantuan bersepadu. 

manakala disisi kaum cina, awalnya mereka dapat menerima keadaan ini kerana kebanyakannya memang teribat secara langsung dengan tragedi tersebut. namun setelah generasi berganti, mereka mula merasa dianaktirikan dan ditindas. kaum muda cina mula merasa ketidakadilan dalam 'hukuman' pada 'jenayah' yang tidak mereka lakukan. maka ini juga menjadi dendam pada kaum cina.

bukan suatu yang mudah untuk membincangkan isu perkauman dalam masyarakat berbilang kaum yang mempunyai prasangka tersendiri. walaupun kita semua boleh belajar dan bekerja bersama-sama tetapi kita masing-masing tahu ada sentimen dalam setiap suasana. umpama rahsia umum, kita tidak akan pernah saling mempercayai sepenuhnya. sentimen ini umpama bom waktu yang hanya menunggu masa untuk meledak.

secara umumnya, semua orang mempunyai interpretasi sendiri mengenai bangsa malaysia. kita semua secara realitinya masih terpisah dengan bahasa, komuniti dan politik. tidak ada pelan bertindak untuk asimilasi sepenuhnya. kita masih ada kampung melayu dan kampung cina. masih ada parti politik yang dikuasai oleh satu kaum. masih ada sekolah terpisah untuk berlainan bangsa. dan berusaha saling tidak mengiktiraf supaya tidak ada yang menjadi kaum utama. bagaimana tegar pun kita mahu berasimilasi, ia tidak mungkin jadi kenyataan melainkan berkongsi resepi makanan.

terkini, kita mempunyai sekelompok kaum pendatang yang kita bawa masuk persis seperti yang dilakukan british dahulu. mungkin saja ini adalah satu cara memperkukuh kedudukan yang berkuasa seperti yang dilakukan oleh british dahulu. kelompok pekerja asing ini juga sudah semakin meramai dan makmur di negara kita. malah ramai dari mereka juga mahu bermastautin lama di negara ini. malah ramai juga yang telah sah menjadi warganegara. dalam situasi ini, walaupun dari segi perundangan mereka ini yang telah menjadi warganegara mempunyai hak yang sama dengan 'pendatang awal', namun kerana asimilasi mereka yang lebih sempurna, mereka lebih mudah diterima oleh orang melayu berbanding kaum cina dan india. 

dan untuk menambah kepada kerisauan yang ada, sentimen perkauman bukan lagi tertumpu pada bangsa tetapi pada agama. dan kerana itu apa-apa yang dianggap sebagai memperkukuhkan kedudukan agama Islam akan dilihat sebagai satu kaedah untuk mengutamakan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain. rasisme bentuk baru. maka dipicu lagi kekangan dan serangan kepada agama, bukan kerana agama itu sendiri tetapi kerana sentimen perkauman yang dijenamakan semula dalam bentuk agama.

maka sepertimana kita melatah dengan sentimen bangsa, kita juga sudah mulai melatah dalam sentimen yang diwujudkan dalam agama. jika selama ini bangsa diperjuangkan untuk mendapat hak yang sama, kini agama pula yang menjadi taruhan dalam satu permainan politik untuk mendapatkan kekuasaan. jika dulu perjuangan bangsa dianggap sensitif, sekarang ini perjuangan agama pula dimanipulasi dan disalahertikan.

jika dulu asimilasi bangsa sangat rumit untuk direalisasikan, perlu kita ambil perhatian bahawa asimilasi agama adalah tidak mungkin sama sekali. kita telah berjaya menaiktaraf perbezaan kita dari mungkin kepada mustahil. walaupun ini bukan suatu yang baru berlaku dalam sejarah, tapi kita akan tetap melaluinya sekali lagi dengan versi kita sendiri. bagaimana kita mahu melaluinya? 

jika sekarang kita merasa sekolah vertikular yang mengajar sukatan pelajaran yang sama dalam bahasa ibunda sendiri tidak mempunyai impak pada hubungan kaum, mengapa pula nanti diadili oleh satu set undang-undang berdasarkan keyakinan beragama tersendiri mahu dikatakan mempunyai impak pada kestabilan negara? jika ekonomi mahu didasarkan pada merit dan keupayaan bersaing, bagaimana jika politik didasarkan pada agama dan keimanan? jika kita sudah melihat bagaimana ekonomi disalahkan bangsa, begitu juga kita akan melihat agama dijadikan kambing hitam untuk kekuasaan.

asas perpaduan adalah persamaan dan toleransi. kita telah lama memilih untuk bertoleransi atas perbezaan. kita telah begitu lama berusaha menghargai persamaan yang kita ada dalam perbezaan. kita telah sekian lama menahan diri untuk tidak masuk campur dalam urusan yang menyentuh budaya dan agama masing-masing. kita telah sangat lama bertindak memberi kefahaman mengenai toleransi perbezaan dalam komuniti kita masing-masing. kita telah cukup lama hidup bersama-sama tanpa perlu memaki hamun dan menambah prejudis dalam diri kita. jika 60 tahun ini kita boleh melakukan semua ini, mengapa ia mulai terasa sukar sekarang?

setiap kita mempunyai pendapat sendiri mengenai perkara ini. dan menjadi harapan bahawa dengan memahami perkara pokok, maka semestinya kita juga mampu mencerna apa yang berlaku dengan lebih baik dan menyusun tindakan dengan lebih bijak. kerana kita tidak memerlukan satu lagi tragedi berdarah untuk kembali merendam emosi dan cuba bertoleransi. moga diusia 60 tahun negara ini kita semua lebih bijak dalam mengisi kemerdekaan. jangan sampai kita sama-sama merempat di tanah ini.






Read On 2 ulasan
 

About me | Author Contact | Powered By Blogspot | © Copyright  2008