ketika ditakdirkan bermusafir di uzbekistan beberapa tahun dulu, sedang duduk-duduk beristirehat menikmati secawan kopi dalam dingin musim sejuk memandang ke arah kawasan pergunungan di daerah Tchimgan, aku bertanya kepada satu-satunya sahabat baikku ketika itu tentang bagaimana mahu membeli tanah di kawasan tersebut.. matanya tepat memandang ke dalam mataku dengan wajah kehairanan.. dan dia bertanya, "kenapa nak beli?"
maka aku berkisah padanya betapa damainya kawasan tersebut dan potensi untuk membangunkannya. dia berkata bahawa dia hanya perlu meminta kebenaran pada pejabat tanah. katanya semua tanah adalah kepunyaan pejabat tanah, bukan milik persendirian.
beberapa tahun dulu aku sering menimbulkan persoalan, ketika senam minda bersama kawan-kawan, mengenai logik kenapa kerajaan harus membayar pampasan kepada penduduk setinggan. sedangkan secara teorinya, penduduk setinggan itu menduduki tanah yang bukan miliknya dan membuat keuntungan. seharusnya penduduk setinggan itu yang membayar pampasan kepada tuan tanah. begitulah logik fikiranku ketika itu.
namun beberapa hari kelmarin, aku memahami persoalan itu dari perspektif yang berbeza. dan dengan memahami itu juga aku dapat mengerti betapa rumitnya persoalan kewarganegaraan bangsa bukan melayu diwaktu zaman aman selepas merdeka. ini hanya satu pandangan dari sudut yang sedikit berbeza.
antara soalan yang aku sering tanyakan ialah adakah tanah yang kita miliki itu benar-benar milik kita? kerna, walaupun tidak ramai yang tahu, kerajaan boleh mengambil alih tanah milik kita yang tidak kita usahakan. dan walaupun kita usahakan atau kita duduki, kita masih membayar cukai tanah kepada kerajaan, bermakna kita bukan pemilik penuh tanah tersebut, kita hanya memiliki hak untuk mengusahakannya. tanah kita adalah milik kerajaan, atau lebih mudah difahami adalah milik raja atau sultan negeri kita. kerna itu raja atau sultan berhak 'membuang negeri' iaitu menghalau kita dari menduduki tanah miliknya.
hanya saja selama mana kita punya hak atas tanah tersebut, kita boleh melakukan apa sahaja termasuklah menjualnya. dan ada pula seorang sahabat memberitahu bahawa tanah yang kita bayar itu hanyalah hak sedalam beberapa kaki sahaja. apa sahaja yang di bawah bumi dalam kawasan tanah kita masih milik kerajaan.
merujuk kepada kes pulau batu putih, pihak penghakiman memutuskan singapura berhak ke atas pulau tersebut salah satunya ialah kerana terdapatnya aktiviti singapura di kawasan tersebut berbanding negara lain.
perkara ini juga yang menjadi asas mengapa tanah melayu dianggap milik orang melayu sedangkan kita mengakui akan hadirnya orang-orang asli mendiami kawasan ini sebelum dibangunkan dengan tamadun melayu. persoalan hak adalah bergantung kepada siapa yang mengusahakannya.
dari sudut pandang ini, maka penduduk setinggan yang diarahkan berpindah seharusnya dibayar pampasan kerana mereka yang mengusahakan tanah tersebut. malah jika perspektif ini diambil kira, tuan tanah asal sudah kehilangan hak ke atas tanah tersebut kerana secara pastinya dia tidak membangunkan tanah tersebut dan tidak pernah menghalang orang lain membangunkannya, kecuali jika tuan tanah itu sendiri yang menyewakan tanahnya untuk dibangunkan oleh para setinggan.
seorang sahabat pernah mengetuk akalku dengan pertanyaan, "kenapa perlu beli rumah banyak-banyak? bayangkan jika setiap keluarga hanya dibenarkan mempunyai satu rumah sahaja, atau hanya sekeping tanah, tidakkah lebih ramai orang akan berkemampuan untuk membeli rumah? tidak perlu ada yang berebut dan berbunuhan pasal tanah yang kemudiannya tidak diusahakan."
aku cuma menjawab bahawa sekarang ini tidak ada cukup tanah untuk diberikan pada setiap keluarga. dan tanah juga adalah salah satu bentuk perniagaan. dia kata, "ini semua poyo. itu adalah ilusi yang didogmakan pada setiap orang oleh kapitalis."
merenungi setiap patah perkataannya setelah itu, aku memahami sudut pandangnya. tanah yang kita miliki bukan sepenuhnya milik kita. kita hanya berhak kerana kita mengusahakannya. namun tidak bermakna kita boleh menolak apabila kerajaan mahu mengambil alih hak atas tanah tersebut, kita hanya boleh menolak hitungan pampasan. itu sahaja. tidak ada tanah yang bebas dalam dunia ini, semuanya telah dipunyakan oleh para raja dan para pemerintah dan dibahagi-bahagikan dengan nama negara, atas sebab keselamatan.
awalnya orang-orang bayar cukai kerna kerajaan ini melindungi mereka, tetapi kerna memang dasar hidup manusia yang kuat itu kudrat, akhirnya orang-orang yang mambayar cukai ini bersetuju menjadi rakyat dan menyerahkan merdeka secara total kepada siapa sahaja yang melindungi mereka. dan kini kita pula tidak boleh sewenang-wenangnya mendirikan rumah di atas mana-mana tanah wiama di dalam hutan sekalipun, kerna semua tanah dalam dunia ini telah dijajah sepenuhnya menjadi kepunyaan kuasa-kuasa yang membahagikan sesama mereka atas nama negara.
walaupun bunyinya seperti itu tapi realitinya sememangnya setiap kelompok orang perlu tempat bernaung dan berlindung dari kejahatan kelompok lain. maka tidak hairanlah jika peniaga haram bersetia kepada kongsi gelap yang melindungi mereka, sepertimana pengikut yang menaksubkan diri kepada pemimpin, sebagaimana rakyat merajakan pelindungnya. ini adalah fitrah manusia.
apa yang menjadi persoalan ialah ilusi mengenai kemerdekaan. pada ramai orang, mereka memaksudkan merdeka itu sebagai kebebasan dalam berbuat apa sahaja dan sebagai satu pengesahan tentang hak mereka; walaupun dari satu persepktif ada kebenarannya.
contohnya, walaupun tanah melayu ini dibangunkan pada awalnya oleh orang melayu dan diperakui kedaulatan negara melayunya selama beratus tahun, namun atas pendirian yang sama, orang bukan melayu setelah zaman merdeka merasakan bahawa mereka juga, malah merasakan mereka melakukan lebih banyak, membangunkan negara ini selama lebih 50 tahun, maka mereka juga merasa berhak dianggap lebih dari sekadar diberi 'hadiah' kewarganegaraan. mereka mahu diakui sebagai pemilik bersama negara ini dan diberi hak yang sama. ini rasional mereka.
aku faham bilamana isu sebegini dibuka maka ia akan dianggap berbau perkauman, berbanding dong zong yang memperjuangkan untuk meletakkan bahasa dan kebudayaan cina menjadi asas budaya 1malaysia. kita akan dianggap perkauman kerna kita adalah pemilik asal, jika kita pendatang maka ia bukan perkauman kerna dianggap mereka hanya sekadar memperjuangkan survival mereka.
kerna walaupun mereka merasa berhak menjadi pemilik bersama tanah ini, kita masih menganggap bahawa mereka masih belum faham budaya dan agama kita. kita berlunak kerana kta faham bahawa sistem pendidikan yang kita ada selama 50 tahun ini belum dapat mengajar mereka faham bahasa melayu dengan baik, dan kerna itu kita setuju bahawa sekolah vernikular harus diteruskan supaya mereka tidak ketinggalan di tanah ini kerna sukar berbahasa melayu.
malah menginsafi bahawa mereka baru beberapa keturunan hidup di tanah melayu ini dan memahami kesukaran hidup mereka jauh dari tanah kelahiran datuk nenek mereka, maka menteri kita merasa harus menghormati tetamu yang telah kita anggap saudara dengan mengangkat dan mengesahkan kepentingan bahasa mereka dan berjanji akan terus mengekalkan sekolah vernikular dan memberi bantuan lebih banyak, supaya mereka mampu untuk berlari tanpa ketinggalan dan tidak merasa rendah diri ketika bersama orang melayu.
dan sesetengah orang melayu sendiri merasakan orang bukan melayu juga harus diberi peluang untuk mentadbir sesuai dengan status warganegara mereka. malah mereka juga perlu diberi peluang menjadi pemimpin kepada orang melayu, supaya orang melayu juga boleh belajar sesuatu dari itu.
semua ini terdengar ideal, namun hanya ada satu sahaja yang menjadi kesukarannya. ketika orang melayu boleh berbaju melayu sambil memasang lampu pelita tujuh likur dan membakar mercun berdentam-dentum tanpa kekok di hari perayaan melayu, mengapa orang bukan melayu masih pelat berbahasa melayu? dan yang lebih menghairankan betapa ramainya anak-anak muda bukan melayu yang tidak tahu berbahasa melayu. tidak seperti di indonesia, thailand dan filipina? jika mereka tidak dapat memahami bahasa melayu, apatah lagi untuk mereka memahami budaya melayu.
ternyata selama 50 tahun ini, orang melayu dapat beradaptasi dan mengasimilasi budaya bukan melayu sebagai tanda muhibbah tetapi yang manakah budaya melayu yang diserapkan ke dalam budaya orang bukan melayu? begitu juga persoalan 1Malaysia yang kebanyakannya disokong oleh orang melayu manakala orang bukan melayu pula mempopularkan budaya mereka sebagai budaya 1malaysia. maaf jika ini terdengar rasis. bukan itu yang jadi tujuanku.
maka kembali kepada isu pemilikan tanah, mengapa orang melayu berlumba-lumba mengumpul hak memiliki tanah? adakah kerna mereka benar-benar mahu mengusahakannya? atau mereka hanya mahu menunggu harga tanah mereka naik untuk dijual? atau mereka menunggu kerajaan mengambil tanah tersebut untuk mendapat pampasan? teringat seorang kawan mengutarakan isu rezab melayu dan berapi-api mempertahankannya, namun hujungnya hanya sebuah lagi retorik politik yang memusatkan segala kesilapan kepada pemerintah yang baginya harus ditukar. baginya tidak ada yang boleh dilakukan oleh rakyat.
namun telah berpendapat pula seorang sahabat mengatakan bahawa ada beberapa instrumen ekonomi yang boleh digunakan untuk menyelamatkan tanah rezab melayu mahu pun tanah-tanah bukan rezab untuk orang melayu. salah satu caranya ialah wakaf. selama ini wakaf, secara popular, hanya diasosiasikan dengan pembinaan masjid, madrasah, dan tanah kubur. yang masih belum dipopularkan ialah wakaf untuk kawasan perniagaan dan perumahan.
bayangkan jika orang melayu punya tanah wakaf untuk kawasan pasar yang hanya boleh digunakan oleh orang melayu, mungkin boleh disewakan atau mungkin juga boleh percuma, dimana peniaga hanya membayar kos pengurusan sampah. apabila tapak meniaga percuma, tidakkah ia akan merendahkan kos seterusnya akan merendahkan harga barang yang dijual? secara tidak langsung ia sedikti sebanyak menjadi penampan kepada kenaikan harga. dan yang dibayangkan oleh sahabat aku itu bukan sekadar tapak pasar malam tetapi sebuah kompleks perniagaan. aku tidak dapat begitu membayangkan apa yang diperkatakannya tetapi aku memahami konsepnya.
dia juga menambah betapa perlunya ada tanah wakaf untuk perumahan. ini lebih sukar untuk dibayangkan kerana kebanyakan orang isu pemilikan rumah itu adalah penting. rasional sahabatku itu ialah begini. terutama di kawasan bandar, kebiasaannya orang muda yang berhijrah dan bekerja di bandar hanyalah bersifat sementara dan sentiasa berpindah-randah. sementara dalam maksud kebanyakan yang bersara memilih untuk kembali ke kampung halaman masing-masing.
walaupun kebanyakan orang berpendapat lebih baik bayar kat bank setiap bulan dimana nanti akan menjadi milik, daripada bayar sewa tiap-tiap bulan. yang menjadi isunya ialah bayaran sewa bulanan dan bayaran ansuran sewabeli rumah dengan bank adalah dalam lingkungan nilai yang sama. ini berlaku kerana yang menyewakan rumah juga kebiasaannya masih berhutang dengan bank. bayangkan, katanya, sewa rumah ini di tanah wakaf. maka tidaklah perlu disewakan begitu tinggi, terutama kepada para pelajar. jika sewa rumah ini rendah, dia bayangkan setengah dari apa yang dikatakan nilai sewa semasa, maka setengah dari nilai tersebut boleh disimpan oleh penyewa untuk nanti membeli rumahnya di kampung secara tunai. tidakkah ini menyelamatkan ekonomi orang melayu?
namun inti dari cadangannya ini ialah oleh kerna tanah itu tanah wakaf, maka setinggi apa pun nilai tanah itu, ia tidak boleh dijual. semakin banyak tanah yang diwakafkan maka semakin banyak 'rezab' melayu diselamatkan. tidakkah ini boleh dilakukan oleh semua orang melayu untuk orang melayu? dan dengan wakaf ini juga kita dapat membebaskan tanah dari kerajaan. aku memahami pendapatnya walaupun aku juga pernah terdengar betapa tanah wakaf juga dimanipulasi dan ditukar status oleh ahli politik yang sangat bijaksana.
aku faham jika ramai yang tidak dapat menerima idea ini kerana kebanyakan dari kita menganggap hartanah adalah sebahagian dari profil kewangan kita. dan profil kewangan kita menunjukkan selama mana kemampuan kita untuk berjaya secara ekonomi. ini ekonomi kapitalis kata seorang sahabatku yang lain.
pada pendapatnya, kejayaan ekonomi dalam Islam bukan secara individu. kehebatan ekonomi di zaman Nabi saw dan para sahabat tidak diukur dengan kekayaan individu. hampir seluruh sahabat yang kita kenali sebagai hartawan tidaklah terlihat seperti hartawan di zaman ini. hartawan mereka diukur dengan zakat, infaq dan sedekah mereka. Umar ra infaq separuh hartanya pada ummah, Abu Bakar ra infaq seluruh hartanya. bayangkan penduduk palestin tidak mengenal yang mana satu Umar ra dan yang mana pembantunya ketika beliau tiba di baitul muqaddis. begitu juga dikisahkan di zaman Umar Abd Aziz dimana sukarnya mencari orang yang mahu menerima zakat. ini ekonomi Islam. kekayaan adalah dalam jemaah bukan individu.
maka balik pada diri kita, kenapa kita tidak mahu mencontohi ini? bukan kerna kita tidak mampu tetapi kerana kita tidak mahu percaya dan tidak mahu yakin bahawa sistem Islam ini boleh berjaya di zaman ini. kita takut jadi miskin kerna menginfaqkan harta kita. ini iman kita.
bayangkan betapa ramai dari kita mengelak untuk membeli tanah yang berstatus rezab melayu kerana kita merasa nilai jualnya rendah. namun di masa yang sama kita merungut rezab melayu ditukar status dan dijual kepada orang bukan melayu. ironi, kita sendiri tak mahu tapi kita marah bila orang lain mahu.
ramai dari kita beli rumah, tanah, dan harta-harta yang lain bukan kerana Allah swt. mungkin sebab dulu ita tak tahu. maka sekarang marilah kita menilai semula kewajaran status harta-harta yang kita ada. ini cadangan seorang sahabat aku: senaraikan seluruh harta dan tuliskan kenapa kita membelinya dahulu dan kenapa pula kita harus mempertahankannya sekarang. mudah-mudahan alasan kita mempertahankan harta tersebut kerana Allah swt, bukan kerana nafsu untuk jadi kaya atau dihormati. kemudian, tepuk dada dan tanya semula diri kita sebanyak tiga kali, benarkah kerana Allah swt?
wallahualam.